Friday, August 27, 2010

TAZKIRAH: DOA IBU MEMBAWA KE SYURGA


Islam menutut kita untuk berbuat baik kepada ibu bapa.Ia merupakan perintah Allah SWT yang wajib kita tunaikan. Sebagai seorang anak, kita diperintahkan agar sentiasa melakukan kebaikan terhadap mereka seperti bersikap lemah lembut, berbudi bahasa, tidak berlaku kasar dan selalu ingat dan menghargai jasa serta pengorbanan yang telah diberikan kepada kita selama ini. Mereka telah bersusah payah memelihara dan menjaga kita siang dan malam dengan mengorbankan waktu, tenaga, perasaan, wang ringgit dan sebagainya demi memberikan yang terbaik untuk kita. Atas dasar itulah maka Islam menetapkan bahawa tanggungjawab melakukan kebaikan kepada ibu bapa amat besar sehingga ia digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT.


Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 23:


Yang maksudnya: "Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uh" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."


Selain itu, ajaran Islam juga menyuruh kita agar sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita. Dalam firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 14:


Yang maksudnya: "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."


Sesungguhnya begitu besar sekali peranan dan pengorbanan kedua ibu bapa, lebih-lebih lagi buat si ibu sehingga Islam mengangkat darjat seorang ibu itu lebih dari seorang bapa. Berdasarkan Sabda Rasulullah SAW:


"عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ حَيْدَةَ الْقُشَيْرِىِّ قَالَ : قُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ ، مَنْ أَبَرَّ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أَبَاكَ؟ ثُمَّ الأَقْرَبَ فَالأَقْرَبَ."


Maksudnya: "Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya aku bertanya Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?, Rasulullah SAW menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa?, Rasulullah menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab: ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya".

(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Maksud hadis tersebut, Baginda Rasulullah SAW telah menggariskan satu dasar bahawa Islam amat mengutamakan kepada si ibu sebagai insan yang layak menerima segala layanan yang terbaik dari setiap anak-anaknya ini kerana segala pergorbanan yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh kehamilan diikuti dengan proses melahirkan, kemudian memelihara untuk membesarkan kita adalah satu tempoh yang amat sukar. Namun begitu, ia berjaya diatasi dengan sebab rasa kasih sayang yang mendalam dalam diri si ibu berserta sokongan dari si bapa.


Memandangkan begitu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberi penghormatan yang begitu tinggi, ini tepat sekali dengan sabda Nabi Muhammad SAW:


"اَلْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ اْلأُمَّهَاتِ."


Maksudnya: "Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu-ibu."


Hal ini dapat dilihat dalam kisah Alqamah, di mana beliau begitu sukar untuk melafazkan kalimah syahadah di saat sakaratul maut kerana perasaan ibunya yang terguris di atas layanannya, walaupun Alqamah kuat beribadah tetapi beliau telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan ibunya, lalu ibunya merasa kecil hati dengan tindakannya, sehingga ibunya sukar untuk memaafkannya. Peristiwa ini perlu dijadikan iktibar oleh kita semua, semoga perkara yang dialami oleh Alqamah tidak terjadi kepada kita.


P/S: Berbuat baiklah dan rebutlah pelunag untuk berbakti kepada kedua ibu bapa sewaktu mereka masih ada. Sesungguhnya ganjaran Allah amat besar bagi mereka yang taat dan mengasihani ibu bapa mereka.


Friday, August 13, 2010

TAZKIRAH: REBUT RAHSIA RAMADHAN!!!



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Yang mengatur segalanya dengan cantik sekali.


Ramadhan Kareem datang lagi. Tanda kasih dan kekuasaan Allah. Cuma jangan kita kaburkan tanda ini dengan keseronokkan kita mengunjungin bazar bazar Ramadhan yang berlambang.


Bukan ayam percik yang kita idam.


Bukan makanan itu dan bukan makanan ini.


Yang kita idamkan ialah peluang yang perlu di sambar ini. Allah mengharapkan bulan ini mampu menghasilkan keputusan yang baik bila keluar darinya yakni Takwa.


Kata seorang ustaz dalam ceramahnya, manusia tika ini banyak yang masuk ke dalam Ramadhan dalam keadaan jahil. Bagi kita Ramadhan cuma bulan puasa. Tapi kita sedikit lupa yang Ramadhan juga bulan Tarbiyah.


Kata Ibn Qaiyim, jahil itu merupakan racun yang membunuh. Dua ubatnya ialah Al Quran dan Sunnah.


Maka, Ramadhan ini perlu kita masuki dalam keadaan kita faham erti Ramadhan yang sebenar. Adab adab dalam Ramadhan, hukum puasa, Sunnah Rasulullah dalam bulan Ramadhan dan banyak lagi.


Mungkin agak lewat untuk satu pembacaan tapi sekurang kurangnya kita ada persediaan.


Jangan kita masuk dalam Ramadhan ini dalam keadaan betul betul kosong. Terlalu rugi jika itu yang berlaku.


Saturday, August 7, 2010

TAZKIRAH:KASIH SAYANG ASAS KEBAHAGIAAN INSTITUSI KELUARGA


Intitusi Keluarga merupakan asas pembinaan sesebuah masyarakat. Maju dan bahagiannya sesebuah masyarakat itu amat bergantung kepada Intitusi Keluarga yang berkualiti. Justeru itu syariat Islam menjadikan perkahwinan sebagai satu peraturan yang wajib di hayati, demi menjamin kerukunan hidup berumah tangga.


Islam adalah agama yang mementingkan hubungan kasih sayang. Kasih sayang adalah fitrah semula jadi yang Allah bekalkan di dalam naluri setiap insan. Kasih sayang tidak mengenal waktu, jarak, tempat kedudukan dan pangkat. Sebab itu, Allah S.W.T meletakkan syarat untuk memperolehi rahmatnya adalah dengan berkasih sayang antara sesama manusia. Ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang berbunyi:


Rasulullah SAW bersabda:


" مَنْ لاَ يَرْحَمِ النَّاسَ لاَ يَرْحَمْهُ اللهُ "


Maksudnya : ”Barang siapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya.”
(H.R. Al-Termizi)


Hadis di atas menekankan kepada umat Islam agar hidup berkasih sayang dan sentiasa memelihara persaudaraan, dengan jaminan kurniaan rahmat oleh Allah s.w.t kepada mereka yang berakhlak penyayang.


Sifat kasih sayang amat penting dan begitu di tekankan oleh islam khususnya dalam pembinaan sebuah keluarga bahagia. Bagi memperolehi kasih sayang yang sebenar dalam kehidupan sebuah rumah tangga seseorang itu perlu menjalinkan hubungan yang harmoni di antara seluruh anggota keluarga dengan sentiasa kasih mengasihi, saling menghormati serta bantu membantu di antara satu sama lain. Semua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Terdapat beberapa faktor yang dapat menyuburkan kasih sayang untuk pembinaan sebuah keluarga bahagia. Antaranya ialah:


PERTAMA, FAKTOR KASIH SAYANG ANTARA SUAMI DAN ISTERI:
Sebuah keluarga yang bersifat mawaddah dan rahmah bermula daripada ikatan perkahwinan. Bagi melahirkan kasih sayang yang sebenar di antara suami dan isteri kedua-dua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggung jawab masing-masing. Isteri bertanggungjawab melayani dan mentaati suami manakala suami pula berperanan sebagai pelindung dan tempat bergantung isteri dan ahli keluarga. Islam juga menganjurkan para suami agar sentiasa bergaul dengan isteri secara maaruf ( baik).


Hakikat ini diperjelaskan lagi dgn sabda baginda baginda S.A.W yang berbunyi:


" خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَاَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِيْ "


Maksudnya : ”Sebaik-baik di kalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang paling baik pada isteriku..”


(Hadis Riwayat Al-Termizi)

KEDUA, KASIH SAYANG ANTARA ANAK-ANAK DAN IBU BAPA:
Sebagaimana ibu dan bapa memberikan kasih sayangnya kepada anak-anak, maka islam juga menganjurkan supaya anak-anak juga memberikan kasih sayang terhadap kedua ibu bapa mereka. Tegasnya anak-anak mestilah menyayangi dan mengasihi ibu bapa, mematuhi segala perintah dan nasihat keduanya, mengunakan kata-kata yang lemah lembut serta beradab, tidak menyinggung perasaan dan menyakitkan hati kedua ibubapa.


KETIGA, HUBUNGAN KEJIRANAN YANG BAIK:
Islam senantiasa menganjurkan supaya umatnya menjalin hubungan kasih sayang, silaturahim dan saling membantu antara satu sama lain. Kasih sayang itu bukan sekadar perlu dipupuk antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak serta anak dan ibu bapa saja, tetapi silaturahim terhadap saudara yang lain termasuk jiran tetangga juga sangat digalakkan oleh Islam karena hasil dari ikatan kemesraan itu akan melahirkan kekuatan ummah yang padu. Adalah wajar amalan hormat-menghormati dan tolak ansur di antara jiran tetangga di tingkatkan kerana ianya boleh melahirkan kehidupan yang harmonis dan sekaligus dapat membangunkan intitusi keluarga masing-masing.


Ini di jelaskan oleh Allah dalam surah An-nisa ayat ayat 36 Allah berfirman:


Maksudnya : ”Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlan kamu mempersekutukannya dengan suatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jauh dan rakan sejawat dan orang-orang musafir yang terlantar dan juga hamba sehaya yang kamu miliki sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”


Kesimpulannya, marilah sama-sama kita menyuburkan budaya kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, mudah-mudahan kita akan di rahmati Allah S.W.T.


Wednesday, August 4, 2010

TAZKIRAH: BAGAIMANA MENENANGKAN HATI DAN JIWA


Di dalam ajaran Islam semua masalah, ada jalan penyelesaiannya atau jalan keluar untuk mengatasi masalah, faham atau tidak sahaja atau mahu atau tidak kerana Islam itu agama keselamatan dunia akhirat, penyelesai semua masalah. Al Quran ada menyatakan:


FIRMAN ALLAH:


“Dan kami menurunkan daripada Al Quran itu barang yang iaitu menjadi ubat dan rahmat kepada orang mukmin dan tidak menambah akan orang yang zalim itu melainkan orang yang zalim itu melainkan rugi”.


Allah SWT mengatakan Al Quran atau Islam itu adalah ubat untuk penyakit lahir dan batin, fizikal dan rohani, dunia dan akhirat dan juga menjadi rahmat kepada seluruh dunia dan akhirat. Juga menjadi rahmat kepada seluruh dunia dan akhirat bagi orang mukmin. Allah SWT menyebut orang mukmin kerana orang mukmin sahaja yang mahu tunduk dan patuh kepada Al Quran atau ajaran Islam. Kalau orang kafir atau orang Islam sahaja, tidak akan mahu menerima atau payah mahu menerimanya. Allah SWT ada menyebut dalam Al Quran bahawa orang mukmin sahaja mudah diingatkan dan mudah menerima ajaran Islam atau ajaran Allah.


FIRMAN ALLAH:


“Tidak ada ucapan orang mukmin itu apabila di ajak kepada Allah dan Rasulnya agar menghukum dikalangan mereka itu melainkan mereka berkata-kata kami dengar dan kami patuh.”


Ertinya berkira dengan orang mukmin mudah, berkira dengan orang Islam lebih-lebih lagi yang bukan Islam sangat susah. Apatah lagi hendak diajak merujuk kepada Allah SWT dan Rasulnya, lebih liat lagi. Justeru itu bagi orang mukmin untuk menenangkan jiwanya Allah SWT memberitahu di dalam satu ayat berbunyi:


“Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang.”


Di sini tahulah kita ubat hati tidak tenang ialah banyak mengingati Allah SWT. Apabila banyak meningati Allah SWT, jika tidak tenang atau terasa kosong. Al Quran ada menyebut dalam sepotong ayat berbunyi;


“Barangsiapa yang berpaling daripada mengingati Aku maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.”


Maksudnya, orang menolak atau melupai Tuhan serta tidak faham apa yang Allah suruh dan larang serta tidak faham apa yang Allah lakukan pada dirinya maka jiwanya sentiasa sempit, tidak tenang, gelisah, resah, susah sekalipun ia kaya, berkuasa, ada nama, ada glamour.


Tuesday, June 1, 2010

TAZKIRAH: MALAS


MALAS adalah satu penyakit. Ia menimpa semua orang termasuk remaja. Malas ada bermacam ragam, ada malas belajar, malas kerja, malas bercakap, malas makan serta seribu satu macam jenis malas lagi. Malas ada risiko dan akibatnya, tetapi apa yang menakutkan adalah kalau malas beribadat. Akibat dan risiko malas yang lain boleh ditanggung, tetapi kalau malas berIBADAT tidak mampu ditanggung rasanya. Siapa yang sanggup menanggung azab sengsara dibakar api neraka.




Perhatian kita terhadap penyakit malas ibadat amat menurun dan corot terutama terhadap anak remaja kita. Lihat remaja kini tidak ke kelas tambahan atau tuisyen, bukan main marah ibu bapa memaki dan kadang-kadang memukul mereka. Tetapi jika remaja kita tidak menunaikan solat, puasa atau anak gadis tidak menutup aurat, tidak kita dengar suara menyuruh atau berleter ibu bapa mereka.


Kadang-kadang yang kita temui apabila emak atau ayah menyuruh pasti akan ada yang tolong bela.

“Kasihan budak tu...biarlah dia tidur, di asrama tak cukup tidur...,” bela emak pada anaknya yang balik bercuti.


Kita memberi perhatian kepada pelajaran yang akan memberi skor ‘A’ dalam peperiksaan, tetapi bagi pelajaran fardu ain, kita buat tidak endah saja.Sebenarnya ini penyuburan nilai tidak prihatin kita yang ditanamkan terhadap anak tanpa kita sedari. Kita lebih khuatir masa depan dunia anak kita daripada masa depan agama mereka.


Dunia memang penting. Islam tidak pernah menolak dunia yang sehingga al-Quran mewasiatkan dalam firman Allah yang bermaksud:

“Carilah apa yang dikurniakan Allah terhadap perkara akhiratmu dan janganlah kamu lupa urusan dunia kamu...”


Jangan lupa dunia antara mesejnya, tetapi jangan pula leka mencari dunia sehingga lupakan akhirat, kadang-kadang bukan saja lupa akhirat, malah Allah sebagai Tuhan yang disembah pun dilupakan juga.


Memang patut kita risau kalau remaja kita tidak berjaya di dunia, tetapi lebih patut lagi kita risau kalau anak remaja kita ke neraka gara-gara gagal beribadat ketika di dunia. Pesan dan motivasi anak remaja supaya bersungguh-sungguh belajar, tetapi jangan lupa hendak berpesan kepada mereka supaya tidak mengabaikan ibadat terutama solat sebagai tiang agama.


Nabi Yaakub berpesan kepada semua anaknya sebelum wafat:
“...apakah yang kamu sembah selepas kematianku...”


Bagi yang lalai dan terlalu leka dengan dunia mungkin pesanannya sebelum mati,
“...anak-anakku apa yang akan kamu makan selepas kematianku...”


Oleh itu, sama-samalah kita renungkan dan analisa diri kita. Sekiranya kita terlalu memdahkan ibadat untuk kepentingan di akhirat, apakah kita akan selamat semasa hari perhintungan kelak?? Wahai ibu bapa sekiranya kamu tidak mendidik dan mementing ilmu agama pada anakmu, siapakah nanti yang akan mendoakan kamu selepas kamu mati???
Anda baca anda tentukan...


Thursday, May 27, 2010

KISAH: ANTARA SABAR DAN MENGELUH


Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.
"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."


Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."


Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu?"


Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"


Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"


Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."


Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"


Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berzeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."


Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah.
Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:
" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."


Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,: " Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."


Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)


Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.


Wednesday, May 26, 2010

TAZKIRAH: MAKNA SABAR


Dari Suhaib RA, bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Sungguh menakjubkan bagi orang yang beriman, keranana segala urusannya adalah baik baginya. Dan hal yang demikian itu tidak akan terdapat kecuali hanya pada orang mu'min: Yaitu jika ia mendapatkan kebahagiaan, ia bersyukur, kerana (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan yang terbaik untuknya. Dan jika ia tertimpa musibah, ia bersabar, kerana (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan hal terbaik bagi dirinya." (HR. Muslim)


Kesabaran merupakan salah satu ciri pada orang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Bahkan sebagian ulama mengatakan bahawa kesabaran adalah separuh daripada keimanan. Sabar memiliki kaitan yang tidak mungkin dipisahkan dari keimanan: Kaitan antara sabar dengan iman, adalah seperti kepala dengan jasadnya. Tidak ada keimanan yang tidak disertai kesabaran, sebagaimana juga tidak ada jasad yang tidak memiliki kepala. Oleh kerana itulah Rasulullah SAW menggambarkan tentang ciri dan keutamaan orang yang beriman sebagaimana hadits di atas.


Kesabaran sesungguhnya memiliki dimensi yang lebih pada pengalahan terhadap hawa nafsu yang terdapat dalam jiwa insan. Dalam berjihad, sabar diaplikasikan dengan melawan hawa nafsu yang menginginkan agar dirinya duduk dengan santai dan tenang di rumah. Justru ketika ia berdiam diri itulah, sesungguhnya ia belum dapat bersabar melawan tantangan dan memenuhi panggilan Ilahi.


Sabar juga memiliki dimensi untuk mengubah sesuatu keadaan, baik yang bersifat pribadi mahupun sosial, menuju perubahan agar lebih baik dan baik lagi. Bahkan seseorang dikatakan dapat dikatakan tidak sabar, jika ia menerima sesuatu yang buruk, pasrah dan menyerah begitu saja. Sabar dalam ibadah diaplikasikan dalam bentuk melawan dan memaksa diri untuk bangun dari tempat tidur, kemudian berwudhu' lalu berjalan menuju masjid dan malaksanakan solat secara berjamaah. Oleh itu, sabar tidak boleh jika hanya dimaksudkann dengan satu sifat pasif, namun ia memiliki nilai keseimbangan antara sifat aktif dengan sifat pasif.


Followers