Wednesday, November 4, 2009

TAZKIRAH: KESAN KEIMANAN YANG SEBENAR


Iman yang benar ialah Iman yang merangkumi pengertian dan ciri-ciri keimanan, seperti bersih daripada syirik khafi dan riyak. Iman yang benar meresap ke dalam hati dan bertakhta di jiwa, menggerakkan anggota zahir untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT, menjadikan perkara-perkara ghaib seolah-olah hadir di hadapan mata, memenuhkan jiwa dengan perasaan tenang, tabah dan tetap pendirian, memudahkan mereka yang mempunyai Iman seperti ini menyebabkan kita berkorban apa sahaja demi Jalan Allah SWT, menambahkan pergantungan, kepercayaan, tawakal, harapan, takut dan penyerahan mereka kepada Allah SWT.


Bila pengertian Iman seperti ini memenuhi hati seseorang Muslim jiwa akan ringan melakukan apa sahaja bentuk ibadah dan ikhlas semata-mata kepada Allah SWT. Ibadah dan Iman seperti ini mempunyai pengaruh dan kesan yang besar dalam penghidupan dunia dan akhirat. Kehidupan dunia dengan kebahagian, kegembiraan dan ketenangan yang meresap di seluruh pelosok jiwa. Kegemilangan yang sungguh indah dan cahaya yang terang akan memenuhi batin seseorang Muslim. Apabila cahaya bati ini bertambah sinarnya dan melimpah di wajah Muslim, sinar yang dapat dilihat oleh orang-orang yang beriman sekalipun kulit Muslim itu hitam atau swo matang. Manakala di akhirat pula kemanisan Iman ini akan dapat dirasakan lebih manis dari madu.


Sebahagian dari tanda-tanda lahir bagi kemanisan Iman ialah kecintaan seseorang Mukmin untuk melakukan ibadah, merasa selesa dan tenang melakukannya serta merasa rindu dan lapang dada melakukannya. Janganlah kita merasa pelik dan menganggap perkara ini hanyalah khayalan semata-mata kerana Iman mempunyai kemanisan yang dapat dirasakan oleh Ruh sebagaimana lidah dapat merasakan kemanisaan makanan. Hadis Rasulullah S.A.W. yang mulia telah menyebut: "Jika terdapat perkara ini pada seseorang beliau akan merasakan kemanisan Iman: beliau mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih dari segala sesuatu, beliau benci untuk kembali kepada kekufuran setelah dilepaskan Allah daripadanya sebagaimana benci dicampakkan ke dalam api neraka, beliau mengasihi seseorang bukan kerana sesuatu (kepentingan) tetapi hanyalah kerana Allah."


Iman adalah kemanisan dan kemanisan tersebut akan bertambah apabila Iman bertambah kuat dan termateri. Sebahagian dari Iman yang benar dan ibadat yang sah ialah Allah SWT akan mencampakkan ilham dan lintasan-lintasan ke dalam hati mukmin. Ilham dan lintasan hati yang akan menyuluh jalan orang-orang yang beriman, menolong dalam menyelesaikan permasalahan dan menolong mencari kebenaran.


Kasyaf adalah juga sebahagian dari kesan Iman yang benar. Kasyaf yang dimaksudkan di sini ialah Allah SWT membukakan tabir yang melindungi sebahagian daripada perkara-perkara yang tersembunyi atau ghaib. Termasuk juga dalam pengertian kasyaf ini ialah mengetahui bisikan hati, niat dan kelemahan sesetengah manusia dengan izin Allah SWT. Kasyaf seperti dikenali sebagai Firasat Mu'min. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Takutlah Firasar orang-ornag Mukmin, sesungguhnya ia melihat dengan Nur Allah."


Dalam satu athar (kejadian ataukisah yang berlaku pada zaman sahabat) dikisahkan bahawa Sayidina Othman Bin Affan r.a. telah berkata kepada sebahagian orang ramai yang datang menemuinya: "Salah seorang di kalangan kamu yang masuk, sedangkan kesan zina jelas kelihatan di antara dua matanya." Lantas di kalangan yang hadir itu bertanya: "Adakah wahyu turun selepas Rasulullah S.A.W., wahai Amir al-Mukminin?" Soalan ini dijawab oleh beliau denagan katanya: "Tidak malah ianya adalah Firasat Orang Mukmin". Kesan zina tersebut yang dilihat oleh Sayyidina Othman ialah kesan daripada melihat perkara yang haram, kerana dalam Hadis Rasulullah S.A.W. pernah menyatakan bahawa mata itu berzina dan zina mata ialah melihat perkara yang haram.


Ilham, lintasan hati dan firasat adalah termasuk dalam perkara-perkara yang thabit dan pernah berlaku. Kadangkala perkara ini disebut Karamah. Karamah adalah satu kebenaran yang mesti diterima dan diakui dan wajib diimani, tetapi tidak harus dijadikan dalil terhadap hukum hakam hanyalah terbatas pada al-Quran dan as-Sunnah dan ceraiannya. Walaupun demikian ilham dan sebaginya bolehlah dianggap sebagai penunjuk jalan untuk mengenali seseorang, keadaan-keadaan tertentu, mengetahui perkara-perkara yang bersangkutan dengan urusan hidup; mana yang harus dilakukan atau ditinggalkan.


Sebahagian dari mimpi-mimpi adalah benar dan sebahagian besarnya adalah karut-karut. Mimpi seseorang yang benar-benar beriman pada ghaibnya adalah benar dan jelas dan memerlukan ta'bir.

TAZKIRAH: BERAMAL DENGAN POSITIF


Amal suatu yang akan di nilai oleh Allah SWT, bagaimana kita melihat dan mempunyai anggapan terhadap amal-amal yang kita lakukan, adakah kita mahu melakukan amal-amal itu kerana untuk mendapatkan pujian? Ingin untuk mendapatkan ganjaran atau ingin untuk mencari keredhaan Allah SWT. Setiap matlamat akan memberikan tindakan yang berbeza di dalam melaksanakan tugas tersebut.


Pengorbanan yang dilaksanakan bergantung kepada perasaan dan tangganpan yang ada di dalam diri seseorang, bagaimana beliau melihat tugas dan tanggungjawab yang telah diberikan, samada kita berfikiran positif atau tidak, tugas-tugas tersebut tetap kita akan lakukan, cuma apabila kita berfikiran positif segala yang kita terima akan dilaksanakan dengan ceria dan penuh persediaan untuk memastikan ianya akan terlaksana dengan baik dan cemerlang. Sebaliknya jika kita berfikiran negatif, kita akan menerima tugas tersebut dengan perasan susah, tidak sepenuh hati dan akan melaksanakan tugas dengan rasa tidak ceria yang menyebabkan akhirnya tugas-tugas tersebut tidak dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan berakhir dengan banyak kegagalan berbanding dengan kejayaan.


Bagi orang yang positif tidak semestinya sentiasa berjaya tetapi apabila melalui kegagalan ia sentiasa berfikir mungkin ada yang terbaik yang perlu dilakukan bagi mengatasi kegagalan tersebut, atau ia berfikir mungkin aku belum lagi melakukan yang terbaik, jika gagal juga ia tetap berusaha kerana kegagalan menyebabkan ia lebih matang dan mungkin ini suatu pengajaran bagi dirinya agar tidak melakukan kegagalan yang lebih besar di kemudian hari.


Oleh sebab itu kita tidak boleh lari dari berbaik sangka terhadap Allah SWT kerana semua yang berlaku adalah di dalam ketentuan Allah SWT dan Allah Maha Mengetahui mengapa perkara itu berlaku seperti yang kita lihat dan mesti ada yang terbaik yang perlu kita lakukan untuk memperbaiki segala kegagalan yang kita hadapi. Adalah lebih baik menyedari kesilapan yang berlaku daripada tidak menyedari yang kita telah melakukan kesilapan, adalah lebih baik bermula dari tidak bermula langsung, setiap langkah akan menyebabkan kita berada jauh di hadapan. Yang perlu kita lakukan adalah merasai kita mampu melakukan yang terbaik dan yang terbaik itu hanya akan dicapai apabila kita merasakan dan beranggapan yang kita boleh melaksanakan dengan izin Allah SWT. Selamat menjalani kehidupan yang bermakna.

TAZKIRAH: AYUH! PUPUK CINTA PADA AKHIRAT



Manusia adalah makhluk paling sempurna ciptaan Allah. Berbanding makhluk-makhluk lain ciptaan Allah, manusia dikurniakan akal fikiran dan kurniaan ini menjadikan manusia lebih istimewa. Akal menjadikan manusia boleh berfikir baik dan buruk. Manusia diberikan kebebasan memilih apa sahaja yang mereka inginkan sama ada ia baik ataupun tidak. Walaupun begitu, manusia akan dipertanggungjawabkan dengan pilihan mereka sepenuhnya. Jika manusia memilih kebaikan sepertimana yang diperintahkan Allah, ganjaran syurga menanti di akhirat kelak. Sebaliknya jika manusia memilih untuk berbuat kejahatan, balasan buruk akan diterima di akhirat kelak.


Dunia yang kita diami semakin hari semakin meninggalkan kita. Akhirat pula semakin menghampiri kita. Bagi manusia yang memilih untuk mencintai dunia melebihi segala-galanya, mereka adalah hamba dunia. Ini kerana mereka sanggup mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi keperluan mereka di dunia tanpa memikirkan sedikitpun kehidupan mereka di ajhirat kelak. Mereka menangguh-nanggguhkan perbuatan amal kebajikan kerana sibuk dengan urusan dunia. Mereka ini tergolong dalam mereka yang rugi. Harta dunia yang mereka kumpulkan di dunia ini tidak sedikitpun berguna di akhirat kelak. Berbeza sama sekali dengan orang yang beriman, kemewahan harta dunia tidak sedikitpun mempengaruhi cinta mereka pada akhirat. Mreka akan menumpukan banyak bagi mencari bekalan akhirat.Orang beriman, jika ditakdirkan menerima nikmat yang besar, dia sudah tentu akan mengucapkan syukur di samping memantapkan keimanan kepada Allah S.W.T. di atasa kurniaannya itu.


Manusia mesti menggunakan segala nikmat yang dikurniakan Allah dengan sebaik-baiknya tanpa melakukan sebarang bentuk kerosakan. Pun begitu, disebabkan sifat tamak haloba manusia, mereka sanggup melakukan apa sahaja sehingga menyebabakan kerosakan di atas muka bumi ini semata-mata mahu memenuhi keinginan masing-masing yang tidak pernah terhad. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:


“Maka apakah sama orang yang kami janjikan kepadanya suatu janji yang baik (syurga) lalu dia memperolehinya dengan orang yang kami berikan kepadanya kesenangan hidup duniawi, kemudian pada hari kiamat dia termasuk orang-orang yang diseret (ke dalam naraka)?”


(Surah Al-Qasas : Ayat 61)


Segala nikmat kurniaan Allah perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Binatang, tumbuh-tumbuhan dan segala di alam ini diciptakan oleh Allah untuk memudahkan urusan manusia di atas muka bumi beribadah dalam ertikata melakukan apa sahaja aktiviti demi mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. semata-mata. Ini semua untuk menambakan bekalan sebelum sampai waktunya kita bertemu Allah apabila tiba masanya di akhirat kelak.


Sungguh, Terlalu Besar Nikmatmu Ya Allah!


Alangkah besar dan banyaknya nikmat yang Allah berikan kepada kita. Allah memberikan nikmat mata dan nikmat penglihatan kepada kita. Allah memberikan nikmat telinga dan nikmat pendengaran kepada kita. Allah memberikan nikmat kaki dan nikmat bergerak kepada kita. Ada orang ada mata tapi tidak dapat melihat, buta namanya. Ada orang mempunyai telinga tetapi tidak dapat mendengar, tuli namanya. Ada orang mempunyai lidah tetapi tidak dapat berkata-kata, bisu namanya. Ada orang mempunyai kaki tetapi tidak dapat bergerak, lumpuh namanya. Begitu juga ada orang mempunyai tangan tetapi tangannya tidak dapat digunakan.


Allah S.W.T. memberikan nikmat-nikmat-Nya yang tidakkan terkira oleh manusia di dunia ini kepada seluruh umat manusia walaupun yang ingkar. Bagi orang-orang beriman yang melaksanakan hak-hak yang sepatutnya terhadap nikmat yang Allah kurniakan ini, Allah mengurniakan pula rahmat-Nya. Melalui rahmat Allah, Allah memasukkan hamba-hambanya yang beriman ke dalam syurga. Di akhirat kelak, ada seorang abid meminta supaya dimasukkan ke dalam syurga melalui amalannya selama beratus-ratus tahun setelah Allah memerintahkan supaya dia dimasukkan ke syurga melalui rahmat-Nya. Lantas apabila ditimbang amalnya dengan nikmat kurniaan Allah, ternyata amalnya tidak dapat menyamai walau hanya dengan sebiji mata yang dikurniakan Allah. Sungguh, rahmat kasih sayang Allahlah yang membawa hamba itu kepada kebahagiaan hakiki.


Maha Besar Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Setiap sedutan dan hembusan nafas kita adalah nikmat daripada-Nya. Di manakah lagi seorang hamba dapat mencari Tuan yang senantiasa memberi kurnia walaupun hambanya itu sering kali mengingkari arahan dan tidak melaksanakan perintah-perintah-Nya. Berkali-kali kita melakukan maksiat, berkali-kali juga Dia memberi peluang keampunan kepada kita. Nikmat-Nya masih terus mencurah-curah ke atas hamba-Nya walaupun dosa hamba-Nya itu bertimbun-timbun.


Namun, mengapakah diri ini selaku hamba-Nya yang sentiasa menghirup nikmat daripada-Nya masih terus malas dan sombong untuk mengucapkan syukur kepada Tuannya. Mengapakah hamba yang sentiasa diberikan nikmat ini masih lagi melanggar arahan-Nya. Mengapakah hamba yang hina ini masih malas untuk beramal dan berbakti kerana-Nya. Mengapakah hamba yang penuh dengan kekotoran dan dosa ini masih tidak mahu memohon keampunan-Nya. Sungguh kerasnya hati ini. Tidakkah diri ini sedar, bila-bila masa sahaja segala-galanya ini boleh hilang. Ya, mati pasti datang dan peluang memperoleh pahala dan keampunan-Nya belum tentu masih terbuka untuk esok hari. Mati yang memutuskan manusia daripada segala jenis kenikmatan dunia. Mati yang akan membawa manusia kepada kebahagiaan hakiki ataupun penyesalan hakiki. Maha Suci Tuhan yang Maha Agung. Berbahagialah orang yang memilih menyucikan kehidupannya dengan ketaatan dan ketundukan kepada Allah.


Monday, November 2, 2009

TAZKIRAH: DOSA MENGUMPAT HANYA BOLEH DIAMPUN OLEH MANGSA

Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain.


Rasullah S.A. W. menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabdanya bermaksud "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya"(Hadis Riwayat Muslim)


Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.


Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ianya disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia,inikan pula daging saudara sendiri.


Dosa mengumpat bukan saja besar,malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.


Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:"Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)


Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.


Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. Sabda Rasulullah S.A.W. "Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat
Abu Daud)


Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.


Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.


Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab : "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".


Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti.


Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.


Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada
mengumpat.


KISAH: SYAHID SELEPAS MEMELUK ISLAM

Suatu ketika tatkala Rasulullah S.A.W sedang bersiap di medan perang Uhud, tiba-tiba terjadi hal yang tidak terduga. Seorang lelaki yang bernama Amar bin Thabit telah datang menemui baginda. Dia rupanya ingin masuk Islam dan akan ikut perang bersama Rasulullah S.A.W. Amar ini berasal dari Bani Asyahali. Sekalian kaumnya ketika itu sudah Islam setelah tokoh yang terkenal Saad bin Muaz memeluk Islam. Tetapi Amar ini enggan mengikut kaumnya yang ramai itu. Keangkuhan jahiliyyah menonjol dalam jiwanya, walaupun dia orang baik dalam pergaulan. Waktu kaumnya menyerunya kepada Islam, ia menjawab, "Kalau aku tahu kebenaran yang aku kemukakan itu sudah pasti aku tidak akan mengikutnya." Demikian angkuhnya Amar.


Kaum Muslimin di Madinah pun mengetahui bagaimana keanehan Amar di tengah-tengah kaumnya yang sudah memeluk Islam. Ia terasing sendirian, hatinya sudah tertutup untuk menerima cahaya Islam yang terang benderang. Kini dalam saat orang bersiap-siap akan maju ke medan perang, dia segera menemui Nabi S.A.W, menyatakan dirinya akan masuk Islam malah akan ikut berperang bersama angkatan perang di bawah pimpinan Nabi S.A.W. Pedangnya yang tajam ikut dibawanya.
Nabi S.A.W menyambut kedatangan Amar dengan sangat gembira., tambah pula rela akan maju bersama Nabi Muhammad S.A.W. Tetapi orang ramai tidak mengetahui peristiwa aneh ini, kerana masing-masing sibuk menyiapkan bekalan peperangan. Di kalangan kaumnya juga tidak ramai mengetahui keIslamannya. Bagaimana Amar maju sebagai mujahid di medan peperangan. Dalam perang Uhud yang hebat itu Amar memperlihatkan keberaniannya yang luar biasa. Malah berkali-kali pedang musuh mengenai dirinya, tidak dipedulikannya. Bahkan dia terus maju sampai saatnya dia jatuh pengsan.


"Untuk apa ikut ke mari ya Amar !" Demikian tanya orang yang hairan melihatnya, sebab sangka mereka dia masih musyrik. Mereka kira Amar ini masih belum Islam lalu mengikut sahaja pada orang ramai. Dalam keadaan antara hidup dan mati itu Amar lalu berkata, "Aku sudah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, lalu aku siapkan pedangku dan maju ke medan perang. Allah akan memberikan syahidah padaku dalam waktu yang tidak lama lagi."
Amar meninggal. Rohnya mengadap ke hadrat Illahi sebagai pahlawan syahid. Waktu hal ini diketahui Rasul S.A.W, maka baginda pun bersabda,, "Amar itu nanti akan berada dalam syurga nantinya." Dan kaum Muslimin pun mengetahui akhir hayat Amar dengan penuh takjub, sebab di luar dugaan mereka. Malah Abu Hurairah r.a sahabat yang banyak mengetahui hadith Nabi S.A.W berkata kaum Muslimin, "Cuba kamu kemukakan kepadaku seorang yang masuk syurga sedang dia tidak pernah bersyarat sekalipun juga terhadap Allah."


"Jika kamu tidak tahu orangnya." Kata Abu Hurairah r.a lagi, lalu ia pun menyambung, ujarnya, "Maka baiklah aku beritahukan, itulah dia Amar bin Thabit."
Demikianlah kisah seorang yang ajaib, masuk syurga demikian indahnya. Ia tidak pernah solat, puasa dan lain-lainnya seperti para sahabat yang lain, sebab dia belum memeluk Islam. Tiba-tiba melihat persiapan yang hebat itu, hatinya tergerak memeluk Islam sehingga ia menemui Nabi S.A.W . Ia menjadi Muslim, lalu maju ke medan perang, sebagai mujahid yang berani. Akhirnya tewas dia dengan mendapat syahadah iaitu pengakuan sebagai orang yang syahid. Mati membela agama Allah di medan perang. Maka syurgalah tempat bagi orang yang memiliki julukan syahid. Nabi S.A.W menjamin syurga bagi orang seperti Amar ini.


Followers