Iman yang benar ialah Iman yang merangkumi pengertian dan ciri-ciri keimanan, seperti bersih daripada syirik khafi dan riyak. Iman yang benar meresap ke dalam hati dan bertakhta di jiwa, menggerakkan anggota zahir untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT, menjadikan perkara-perkara ghaib seolah-olah hadir di hadapan mata, memenuhkan jiwa dengan perasaan tenang, tabah dan tetap pendirian, memudahkan mereka yang mempunyai Iman seperti ini menyebabkan kita berkorban apa sahaja demi Jalan Allah SWT, menambahkan pergantungan, kepercayaan, tawakal, harapan, takut dan penyerahan mereka kepada Allah SWT.
Bila pengertian Iman seperti ini memenuhi hati seseorang Muslim jiwa akan ringan melakukan apa sahaja bentuk ibadah dan ikhlas semata-mata kepada Allah SWT. Ibadah dan Iman seperti ini mempunyai pengaruh dan kesan yang besar dalam penghidupan dunia dan akhirat. Kehidupan dunia dengan kebahagian, kegembiraan dan ketenangan yang meresap di seluruh pelosok jiwa. Kegemilangan yang sungguh indah dan cahaya yang terang akan memenuhi batin seseorang Muslim. Apabila cahaya bati ini bertambah sinarnya dan melimpah di wajah Muslim, sinar yang dapat dilihat oleh orang-orang yang beriman sekalipun kulit Muslim itu hitam atau swo matang. Manakala di akhirat pula kemanisan Iman ini akan dapat dirasakan lebih manis dari madu.
Sebahagian dari tanda-tanda lahir bagi kemanisan Iman ialah kecintaan seseorang Mukmin untuk melakukan ibadah, merasa selesa dan tenang melakukannya serta merasa rindu dan lapang dada melakukannya. Janganlah kita merasa pelik dan menganggap perkara ini hanyalah khayalan semata-mata kerana Iman mempunyai kemanisan yang dapat dirasakan oleh Ruh sebagaimana lidah dapat merasakan kemanisaan makanan. Hadis Rasulullah S.A.W. yang mulia telah menyebut: "Jika terdapat perkara ini pada seseorang beliau akan merasakan kemanisan Iman: beliau mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih dari segala sesuatu, beliau benci untuk kembali kepada kekufuran setelah dilepaskan Allah daripadanya sebagaimana benci dicampakkan ke dalam api neraka, beliau mengasihi seseorang bukan kerana sesuatu (kepentingan) tetapi hanyalah kerana Allah."
Iman adalah kemanisan dan kemanisan tersebut akan bertambah apabila Iman bertambah kuat dan termateri. Sebahagian dari Iman yang benar dan ibadat yang sah ialah Allah SWT akan mencampakkan ilham dan lintasan-lintasan ke dalam hati mukmin. Ilham dan lintasan hati yang akan menyuluh jalan orang-orang yang beriman, menolong dalam menyelesaikan permasalahan dan menolong mencari kebenaran.
Kasyaf adalah juga sebahagian dari kesan Iman yang benar. Kasyaf yang dimaksudkan di sini ialah Allah SWT membukakan tabir yang melindungi sebahagian daripada perkara-perkara yang tersembunyi atau ghaib. Termasuk juga dalam pengertian kasyaf ini ialah mengetahui bisikan hati, niat dan kelemahan sesetengah manusia dengan izin Allah SWT. Kasyaf seperti dikenali sebagai Firasat Mu'min. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Takutlah Firasar orang-ornag Mukmin, sesungguhnya ia melihat dengan Nur Allah."
Dalam satu athar (kejadian ataukisah yang berlaku pada zaman sahabat) dikisahkan bahawa Sayidina Othman Bin Affan r.a. telah berkata kepada sebahagian orang ramai yang datang menemuinya: "Salah seorang di kalangan kamu yang masuk, sedangkan kesan zina jelas kelihatan di antara dua matanya." Lantas di kalangan yang hadir itu bertanya: "Adakah wahyu turun selepas Rasulullah S.A.W., wahai Amir al-Mukminin?" Soalan ini dijawab oleh beliau denagan katanya: "Tidak malah ianya adalah Firasat Orang Mukmin". Kesan zina tersebut yang dilihat oleh Sayyidina Othman ialah kesan daripada melihat perkara yang haram, kerana dalam Hadis Rasulullah S.A.W. pernah menyatakan bahawa mata itu berzina dan zina mata ialah melihat perkara yang haram.
Ilham, lintasan hati dan firasat adalah termasuk dalam perkara-perkara yang thabit dan pernah berlaku. Kadangkala perkara ini disebut Karamah. Karamah adalah satu kebenaran yang mesti diterima dan diakui dan wajib diimani, tetapi tidak harus dijadikan dalil terhadap hukum hakam hanyalah terbatas pada al-Quran dan as-Sunnah dan ceraiannya. Walaupun demikian ilham dan sebaginya bolehlah dianggap sebagai penunjuk jalan untuk mengenali seseorang, keadaan-keadaan tertentu, mengetahui perkara-perkara yang bersangkutan dengan urusan hidup; mana yang harus dilakukan atau ditinggalkan.
Sebahagian dari mimpi-mimpi adalah benar dan sebahagian besarnya adalah karut-karut. Mimpi seseorang yang benar-benar beriman pada ghaibnya adalah benar dan jelas dan memerlukan ta'bir.
1 comments:
ISLAM ITU SENTIASA INDAH DIHATIKU....
Post a Comment