Saturday, March 27, 2010

KISAH: BESARNYA NIKMAT ALLAH TAPI KITA SERING DUSTKAN



Kisah mengenai Ibrahim Adham. Suatu hari,dia sedang berburu dan apabila dia penat dia duduk sambil memotong roti yang dibawanya.Tiba-tiba hinggap seekor burung sebesar buruk gagak di depannya mematuk potong roti dan membawa terbang.


Ibrahim berasa hairan dengan kejadian itu dan serta-merta mengikuti burung itu sehingga ke sebuah lereng gunung. Ibrahim melihat seorang lelaki dalam keadaan terikat kaki dan tangan. Setelah ikatan itu dilepaskan, dia menceritakan kejadian yang menimpanya.


''Saya adalah pedagang yang dirompak oleh sekumpulan penyamun dan diikat selama tujuh hari, maka burung itu datang kepada saya membawa roti setiap hari. Dengan demikian tahulah bahawa ALLAH s.w.t. tidak akan meninggalkan hambaNya kelaparan'', katanya.


Setelah kejadian itu, Ibrahim terus bertaubat dan menyerahkan segala hak miliknya ke jalan ALLAH s.w.t. dan menuju ke Makkah tanpa membawa bekal sedikit pun, tetapi dia tidak berasa lapar dalam perjalanan hingga masuk ke Kota Makkah dan bersyukur kepada ALLAH s.w.t.


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


“Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya”. -Riwayat Muslim.


"Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata".
(surah As-syura ayat 27)


Monday, March 15, 2010

TAZKIRAH: CITA -CITA DAN PERSEDIAAN



Bercita-cita tinggi suatu yang perlu ada didalam diri kita, tanpa cita-cita tiada kenyataan. Tetapi cita-cita sahaja tanpa kita menyediakan persedian-persedian untuk mendapatkan cita-cita tersebut suatu angan-angan yang tidak mungkin di gapai. Apakah masalah yang kita hadapai untuk mendapat cita-cita itu? Adakah halangannya begitu besar untuk kita, bolehkah kita menyenaraikan alasan-alasan atau sebab-sebab yang tidak memungkinkan kita mencapainya. Jika kita boleh menyenaraikannya sekarang mari kita lihat kenapa kita tidak mahu mengatasinya. Tiada carakah yang membolehkan kita menyelesaikannya? Jika ada maka lakukanlah sekarang.


Ramai orang cuba menangguhkan usaha-usaha dengan berharap apabila masa berlalu masalah tersebut akan selesai, ia mungkin suatu penyelesaian tetapi adakah dengan hanya berharap sahaja, bagi orang yang Berjaya mereka suka melakukan apa yang tidak digemari oleh orang-orang yang gagal, bagi orang yang gagal pula suka menangguhkan apa yang perlu mereka lakukan.


Kejayaan mestilah seiring dengan kesukaran, BUKAN SENANG NAK SENANG, KALAU TAKUT SUSAH MAKA SUSAH NAK SENANG. Maka mari kita analisa diri sendiri sejauh mana kita telah melalui kesukaran, sukar untuk membaca buku bagi menambah ilmu kerana kita selalu tertidur apabila mula nak membaca, sukar untuk melihat buku-buku anak kerana telah letih seharian bekerja di pejabat, sukar untuk membantu isteri kerana surak khabar belum sempat dibaca lagi hari ini, sukar untuk kemasjid kerana tak ramai orang yang dikenali di masjid, sukar untuk memberi nanti takut tak cukup belanja bulan ini, sukar untuk beriadah dan beribadah kerana terlalu letih bekerja hari ini.


Tetapi cuba tukarkan aku perlu membaca kerana dengan membaca aku akan memahami banyak perkara baru dan menjadikan aku lebih mengenal Allah swt, dengan lebih meluang waktu untuk melihat buku-buku anak saya akan mengetahui kelemahan anak dan ada peluang untuk membantu mereka, siapa lagi yang akan membantu jika tidak diriku yang memainkan peranan sebagai guru, dengan membantu isteri aku akan mendapat kasihnya, dengan pergi kemasjid aku akan mula menjalin persahabatan dan mendapat ilmu daripada kuliah yang diberikan disana, dengan memberi sedikit yang ada mungkin aku mendapat keberkatan diatas harta pemberian tuhan. Banyak lagi yang boleh difikirkan, apa yang perlu adalah berbaik sangka kepada Allah swt, tuhan yang maha berkuasa.


TAZKIRAH: SUAMI YANG PENGASIH


Setiap isteri atau wanita amat mendambakan seorang suami yang boleh menjadi pembantu dan juga penyenang hatinya, bukan hanya si isteri sahaja yang perlu menyenangkan dan juga menolong suaminya. Inilah rahsia kebahagiaan rumah tangga yang jika suami dan isteri sama-sama dapat memahami dan memenuhi keperluan dan kehendak pasangannya, rumah tangga yang sedia terbina akan terus terjalin bahagia dan dibarkahi.


Berikut adalah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan kepada suami mahupun bakal suami dalam meningkatkan pengetahuan tentang kehendak hati isteri dan sekaligus meningkatkan kepercayaan dan keyakinan si isteri terhadap suami dalam memimpin keluarga.


1. Imam Solat
Suami yang mampu menjadi imam dalam solat adalah amat jelas mampu memimpin rumah tangganya. Maka isteri akan hormat kerana suaminya mempunyai kredibiliti yang sememangnya menjadi tuntutan dalam berkeluarga. Mampu menjadi imam dalam solat adalah tanda bahawa suaminya mampu memimpinnya ke jalan yang lebih baik dalam agama.


2. Mengajarkan ilmu-ilmu agama
Ini adalah perkara mencabar untuk anda wahai bakal suami dan para suami kerana bukan untuk kita membimbing keluarga dengan ilmu-ilmu agama. Ramai di antara kita hari ini mampu menyediakan peralatan hiburan di rumah tetapi tidak dapat menyediakan peralatan untuk mengajarkan ilmu-ilmu agama. Sekiranya kita tidak mampu, carilah guru yang dapat membimbing kita dan keluarga kita.


3. Suami yang matang
Ramai suami nampak matang sebelum mendirikan rumah tangga, tetapi hakikatnya tidak setelah mereka berkeluarga. Suami perlu matang dalam memberikan keputusan kerana isteri tetap akan meminta pandangan suami walaupun dia mungkin dapat membuat keputusan terhadap sesuatu perkara.


4. Pandai Memasak
Suami adalah penjaga kepada isteri dan anak-anak. Jangan kita hanya menjadi suami yang hanya tahu memakan air tangan isteri, kerana sebenarnya isteri juga akan lebih menyayangi suami yang pandai memasak. Air tangan suami juga mampu mengeratkan hubungan antara suami isteri dan juga anak-anak.


5. Suami yang ‘independent’
Tahu menguruskan diri sendiri. Jangan hanya mengharapkan isteri untuk membasuh pakaian dan menggosok baju kerana ada waktunya mungkin isteri kita tidak dapat melakukan itu semua. Suami yang mampu melakukan kerja-kerja isteri mampu kelihatan comel dan romantik di mata si isteri. Cubalah, anda pasti akan nampak hasilnya nanti.


6. Mempunyai prinsip dan pendirian
Suami tidak boleh kelihatan lemah dengan hanya mendengar dan mengikut pandangan ahli keluarga sekiranya berlaku masalah keluarga.. Pendirian ini akan menunjukkan bahawa anda suami yang hebat di mata isteri. Pandangan ahli keluarga hanyalah pembimbing bukanlah keputusan kepada masalah anda.


7. Menjaga anak-anak bersama isteri
Banyak berlaku di kalangan kita, isteri ditatang bagai minyak yang penuh ketika sedang mengandung, tetapi setelah selamat bersalin suami hanya menyerahkan penjagaan anak kepada isteri sepenuhnya. Lebih-lebih lagi jika anak yang dilahirkan bukan anak sulong. Isteri mengalami kepenatan menguruskan rumah tangga 2 kali ganda selepas melahirkan anak. Tanggungjawab ini juga perlu dirasai oleh suami. Bersamalah bangun malam ketika anak menangis kelaparan. Pastinya isteri akan lebih menghargai kerjasama yang anda berikan.


8. Jadilah suami serba tahu
Suami yang serba boleh dengan erti kata mempunyai pengetahuan yang serba-serbi. Isteri amat rasa kagum apabila suaminya mempunyai pengetahuan dalam pelbagai bidang. Baik dari selok-belok rumah tangga, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Suami yang sebegini bukan sekadar disayangi isteri bahkan juga disayangi mertua.


Followers