Sunday, August 29, 2010

TAZKIRAH: KEUTAMAAN LAILATUL-QADAR


Umat Islam di seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun. Namun, pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul QadrMalam al-Qadr adalah malam yang paling utama sepanjang tahun, berdasarkan firman ALLAH Ta’ala, ertinya:


“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul-Qadr. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadr? Lailatul-Qadr lebih baik dari seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 1-3)


Maksudnya, beramal pada malam tersebut seperti solat, dzikir dan membaca al-Quran lebih utama dari amalan selama seribu bulan yang tidak mempunyai Lailatul-Qadr.
Sunnat Mengintai Lailatul-Qadr


Disunnatkan mencari lailatul-Qadr itu pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan. Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam amat giat mencari saat itu pada sepuluh hari yang terakhir.


Dari Aisyah radhiAllahu ‘anhu berkata: “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila telah masuk sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan, diramaikannya waktu malam, dibangunkannya keluarganya dan diikat eratnya kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)


Di Malam Mana Berlakunya Lailatul-Qadr?


Ada beberapa pendapat dari para ulama dalam menentukan malam yang mulai ini.


Di antara mereka ada yang mengatakan bahawa ia adalah malam kedua puluh satu, ada pula yang mengatakan bahawa ia adalah malam kedua puluh tiga, ada yang berpendapat malam kedua puluh lima, dan ada yang berkata ia berlaku pada malam kedua puluh sembilan, serta ada yang mengatakan bahawa ia berpindah-pindah pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari yang terakhir.


Tetapi kebanyakan mereka berpendapat bahawa jatuhnya Lailatul-Qadr ialah pada malam kedua puluh tujuh.


Diriwayatkan oleh Ahmad dengan isnad yang sah dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu katanya telah bersabda Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam: “Barangsiapa mencarinya, hendaklah dicarinya pada malam kedua puluh tujuh!”


Namun, dinasihatkan kepada semua jangan hanya menumpukan kepada satu-satu malam sahaja beribadah. Hendaklah berterusan ibadah kepada ALLAH setiap hari, dan diberi penumpuan yang lebih kepada 10 hari terakhir Ramadhan.

Beribadah dan Berdoa Pada Lailatul-Qadr


Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang beribadah pada malam al-Qadr kerana iman dan mengharapkan keridhaan ALLAH, diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu.”


Diriwayatkan dari Aisyah radhiAllahu ‘anha oleh Ahmad, Ibnu Majah dan juga Turmudzi yang menyatakan sahnya, katanya: “Saya bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana pendapat anda seandainya saya tahu malamjatuhnya Lailatul-Qadr itu, apakah yang harus saya ucapkan ketika itu?” Maka ujar Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam: “Katakanlah:



“Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah daku ini.”


Tulisan di atas disalin dari kitab Feqh as-Sunnah susunan Sheikh Sayyid Sabiq dari bab puasa. Semoga kita semua dapat memanfaatkan perkongsian ini, insyaALLAH.


Mudah-mudahan kita semua memperolehi TAQWA, amin…


Friday, August 27, 2010

TAZKIRAH: DOA IBU MEMBAWA KE SYURGA


Islam menutut kita untuk berbuat baik kepada ibu bapa.Ia merupakan perintah Allah SWT yang wajib kita tunaikan. Sebagai seorang anak, kita diperintahkan agar sentiasa melakukan kebaikan terhadap mereka seperti bersikap lemah lembut, berbudi bahasa, tidak berlaku kasar dan selalu ingat dan menghargai jasa serta pengorbanan yang telah diberikan kepada kita selama ini. Mereka telah bersusah payah memelihara dan menjaga kita siang dan malam dengan mengorbankan waktu, tenaga, perasaan, wang ringgit dan sebagainya demi memberikan yang terbaik untuk kita. Atas dasar itulah maka Islam menetapkan bahawa tanggungjawab melakukan kebaikan kepada ibu bapa amat besar sehingga ia digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT.


Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 23:


Yang maksudnya: "Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uh" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."


Selain itu, ajaran Islam juga menyuruh kita agar sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita. Dalam firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 14:


Yang maksudnya: "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."


Sesungguhnya begitu besar sekali peranan dan pengorbanan kedua ibu bapa, lebih-lebih lagi buat si ibu sehingga Islam mengangkat darjat seorang ibu itu lebih dari seorang bapa. Berdasarkan Sabda Rasulullah SAW:


"عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ حَيْدَةَ الْقُشَيْرِىِّ قَالَ : قُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ ، مَنْ أَبَرَّ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أَبَاكَ؟ ثُمَّ الأَقْرَبَ فَالأَقْرَبَ."


Maksudnya: "Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya aku bertanya Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?, Rasulullah SAW menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa?, Rasulullah menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab: ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya".

(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Maksud hadis tersebut, Baginda Rasulullah SAW telah menggariskan satu dasar bahawa Islam amat mengutamakan kepada si ibu sebagai insan yang layak menerima segala layanan yang terbaik dari setiap anak-anaknya ini kerana segala pergorbanan yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh kehamilan diikuti dengan proses melahirkan, kemudian memelihara untuk membesarkan kita adalah satu tempoh yang amat sukar. Namun begitu, ia berjaya diatasi dengan sebab rasa kasih sayang yang mendalam dalam diri si ibu berserta sokongan dari si bapa.


Memandangkan begitu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberi penghormatan yang begitu tinggi, ini tepat sekali dengan sabda Nabi Muhammad SAW:


"اَلْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ اْلأُمَّهَاتِ."


Maksudnya: "Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu-ibu."


Hal ini dapat dilihat dalam kisah Alqamah, di mana beliau begitu sukar untuk melafazkan kalimah syahadah di saat sakaratul maut kerana perasaan ibunya yang terguris di atas layanannya, walaupun Alqamah kuat beribadah tetapi beliau telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan ibunya, lalu ibunya merasa kecil hati dengan tindakannya, sehingga ibunya sukar untuk memaafkannya. Peristiwa ini perlu dijadikan iktibar oleh kita semua, semoga perkara yang dialami oleh Alqamah tidak terjadi kepada kita.


P/S: Berbuat baiklah dan rebutlah pelunag untuk berbakti kepada kedua ibu bapa sewaktu mereka masih ada. Sesungguhnya ganjaran Allah amat besar bagi mereka yang taat dan mengasihani ibu bapa mereka.


Friday, August 13, 2010

TAZKIRAH: REBUT RAHSIA RAMADHAN!!!



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Yang mengatur segalanya dengan cantik sekali.


Ramadhan Kareem datang lagi. Tanda kasih dan kekuasaan Allah. Cuma jangan kita kaburkan tanda ini dengan keseronokkan kita mengunjungin bazar bazar Ramadhan yang berlambang.


Bukan ayam percik yang kita idam.


Bukan makanan itu dan bukan makanan ini.


Yang kita idamkan ialah peluang yang perlu di sambar ini. Allah mengharapkan bulan ini mampu menghasilkan keputusan yang baik bila keluar darinya yakni Takwa.


Kata seorang ustaz dalam ceramahnya, manusia tika ini banyak yang masuk ke dalam Ramadhan dalam keadaan jahil. Bagi kita Ramadhan cuma bulan puasa. Tapi kita sedikit lupa yang Ramadhan juga bulan Tarbiyah.


Kata Ibn Qaiyim, jahil itu merupakan racun yang membunuh. Dua ubatnya ialah Al Quran dan Sunnah.


Maka, Ramadhan ini perlu kita masuki dalam keadaan kita faham erti Ramadhan yang sebenar. Adab adab dalam Ramadhan, hukum puasa, Sunnah Rasulullah dalam bulan Ramadhan dan banyak lagi.


Mungkin agak lewat untuk satu pembacaan tapi sekurang kurangnya kita ada persediaan.


Jangan kita masuk dalam Ramadhan ini dalam keadaan betul betul kosong. Terlalu rugi jika itu yang berlaku.


Saturday, August 7, 2010

TAZKIRAH:KASIH SAYANG ASAS KEBAHAGIAAN INSTITUSI KELUARGA


Intitusi Keluarga merupakan asas pembinaan sesebuah masyarakat. Maju dan bahagiannya sesebuah masyarakat itu amat bergantung kepada Intitusi Keluarga yang berkualiti. Justeru itu syariat Islam menjadikan perkahwinan sebagai satu peraturan yang wajib di hayati, demi menjamin kerukunan hidup berumah tangga.


Islam adalah agama yang mementingkan hubungan kasih sayang. Kasih sayang adalah fitrah semula jadi yang Allah bekalkan di dalam naluri setiap insan. Kasih sayang tidak mengenal waktu, jarak, tempat kedudukan dan pangkat. Sebab itu, Allah S.W.T meletakkan syarat untuk memperolehi rahmatnya adalah dengan berkasih sayang antara sesama manusia. Ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang berbunyi:


Rasulullah SAW bersabda:


" مَنْ لاَ يَرْحَمِ النَّاسَ لاَ يَرْحَمْهُ اللهُ "


Maksudnya : ”Barang siapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya.”
(H.R. Al-Termizi)


Hadis di atas menekankan kepada umat Islam agar hidup berkasih sayang dan sentiasa memelihara persaudaraan, dengan jaminan kurniaan rahmat oleh Allah s.w.t kepada mereka yang berakhlak penyayang.


Sifat kasih sayang amat penting dan begitu di tekankan oleh islam khususnya dalam pembinaan sebuah keluarga bahagia. Bagi memperolehi kasih sayang yang sebenar dalam kehidupan sebuah rumah tangga seseorang itu perlu menjalinkan hubungan yang harmoni di antara seluruh anggota keluarga dengan sentiasa kasih mengasihi, saling menghormati serta bantu membantu di antara satu sama lain. Semua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Terdapat beberapa faktor yang dapat menyuburkan kasih sayang untuk pembinaan sebuah keluarga bahagia. Antaranya ialah:


PERTAMA, FAKTOR KASIH SAYANG ANTARA SUAMI DAN ISTERI:
Sebuah keluarga yang bersifat mawaddah dan rahmah bermula daripada ikatan perkahwinan. Bagi melahirkan kasih sayang yang sebenar di antara suami dan isteri kedua-dua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggung jawab masing-masing. Isteri bertanggungjawab melayani dan mentaati suami manakala suami pula berperanan sebagai pelindung dan tempat bergantung isteri dan ahli keluarga. Islam juga menganjurkan para suami agar sentiasa bergaul dengan isteri secara maaruf ( baik).


Hakikat ini diperjelaskan lagi dgn sabda baginda baginda S.A.W yang berbunyi:


" خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَاَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِيْ "


Maksudnya : ”Sebaik-baik di kalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang paling baik pada isteriku..”


(Hadis Riwayat Al-Termizi)

KEDUA, KASIH SAYANG ANTARA ANAK-ANAK DAN IBU BAPA:
Sebagaimana ibu dan bapa memberikan kasih sayangnya kepada anak-anak, maka islam juga menganjurkan supaya anak-anak juga memberikan kasih sayang terhadap kedua ibu bapa mereka. Tegasnya anak-anak mestilah menyayangi dan mengasihi ibu bapa, mematuhi segala perintah dan nasihat keduanya, mengunakan kata-kata yang lemah lembut serta beradab, tidak menyinggung perasaan dan menyakitkan hati kedua ibubapa.


KETIGA, HUBUNGAN KEJIRANAN YANG BAIK:
Islam senantiasa menganjurkan supaya umatnya menjalin hubungan kasih sayang, silaturahim dan saling membantu antara satu sama lain. Kasih sayang itu bukan sekadar perlu dipupuk antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak serta anak dan ibu bapa saja, tetapi silaturahim terhadap saudara yang lain termasuk jiran tetangga juga sangat digalakkan oleh Islam karena hasil dari ikatan kemesraan itu akan melahirkan kekuatan ummah yang padu. Adalah wajar amalan hormat-menghormati dan tolak ansur di antara jiran tetangga di tingkatkan kerana ianya boleh melahirkan kehidupan yang harmonis dan sekaligus dapat membangunkan intitusi keluarga masing-masing.


Ini di jelaskan oleh Allah dalam surah An-nisa ayat ayat 36 Allah berfirman:


Maksudnya : ”Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlan kamu mempersekutukannya dengan suatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jauh dan rakan sejawat dan orang-orang musafir yang terlantar dan juga hamba sehaya yang kamu miliki sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”


Kesimpulannya, marilah sama-sama kita menyuburkan budaya kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, mudah-mudahan kita akan di rahmati Allah S.W.T.


Wednesday, August 4, 2010

TAZKIRAH: BAGAIMANA MENENANGKAN HATI DAN JIWA


Di dalam ajaran Islam semua masalah, ada jalan penyelesaiannya atau jalan keluar untuk mengatasi masalah, faham atau tidak sahaja atau mahu atau tidak kerana Islam itu agama keselamatan dunia akhirat, penyelesai semua masalah. Al Quran ada menyatakan:


FIRMAN ALLAH:


“Dan kami menurunkan daripada Al Quran itu barang yang iaitu menjadi ubat dan rahmat kepada orang mukmin dan tidak menambah akan orang yang zalim itu melainkan orang yang zalim itu melainkan rugi”.


Allah SWT mengatakan Al Quran atau Islam itu adalah ubat untuk penyakit lahir dan batin, fizikal dan rohani, dunia dan akhirat dan juga menjadi rahmat kepada seluruh dunia dan akhirat. Juga menjadi rahmat kepada seluruh dunia dan akhirat bagi orang mukmin. Allah SWT menyebut orang mukmin kerana orang mukmin sahaja yang mahu tunduk dan patuh kepada Al Quran atau ajaran Islam. Kalau orang kafir atau orang Islam sahaja, tidak akan mahu menerima atau payah mahu menerimanya. Allah SWT ada menyebut dalam Al Quran bahawa orang mukmin sahaja mudah diingatkan dan mudah menerima ajaran Islam atau ajaran Allah.


FIRMAN ALLAH:


“Tidak ada ucapan orang mukmin itu apabila di ajak kepada Allah dan Rasulnya agar menghukum dikalangan mereka itu melainkan mereka berkata-kata kami dengar dan kami patuh.”


Ertinya berkira dengan orang mukmin mudah, berkira dengan orang Islam lebih-lebih lagi yang bukan Islam sangat susah. Apatah lagi hendak diajak merujuk kepada Allah SWT dan Rasulnya, lebih liat lagi. Justeru itu bagi orang mukmin untuk menenangkan jiwanya Allah SWT memberitahu di dalam satu ayat berbunyi:


“Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang.”


Di sini tahulah kita ubat hati tidak tenang ialah banyak mengingati Allah SWT. Apabila banyak meningati Allah SWT, jika tidak tenang atau terasa kosong. Al Quran ada menyebut dalam sepotong ayat berbunyi;


“Barangsiapa yang berpaling daripada mengingati Aku maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.”


Maksudnya, orang menolak atau melupai Tuhan serta tidak faham apa yang Allah suruh dan larang serta tidak faham apa yang Allah lakukan pada dirinya maka jiwanya sentiasa sempit, tidak tenang, gelisah, resah, susah sekalipun ia kaya, berkuasa, ada nama, ada glamour.


Followers