Saturday, August 7, 2010

TAZKIRAH:KASIH SAYANG ASAS KEBAHAGIAAN INSTITUSI KELUARGA


Intitusi Keluarga merupakan asas pembinaan sesebuah masyarakat. Maju dan bahagiannya sesebuah masyarakat itu amat bergantung kepada Intitusi Keluarga yang berkualiti. Justeru itu syariat Islam menjadikan perkahwinan sebagai satu peraturan yang wajib di hayati, demi menjamin kerukunan hidup berumah tangga.


Islam adalah agama yang mementingkan hubungan kasih sayang. Kasih sayang adalah fitrah semula jadi yang Allah bekalkan di dalam naluri setiap insan. Kasih sayang tidak mengenal waktu, jarak, tempat kedudukan dan pangkat. Sebab itu, Allah S.W.T meletakkan syarat untuk memperolehi rahmatnya adalah dengan berkasih sayang antara sesama manusia. Ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang berbunyi:


Rasulullah SAW bersabda:


" مَنْ لاَ يَرْحَمِ النَّاسَ لاَ يَرْحَمْهُ اللهُ "


Maksudnya : ”Barang siapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya.”
(H.R. Al-Termizi)


Hadis di atas menekankan kepada umat Islam agar hidup berkasih sayang dan sentiasa memelihara persaudaraan, dengan jaminan kurniaan rahmat oleh Allah s.w.t kepada mereka yang berakhlak penyayang.


Sifat kasih sayang amat penting dan begitu di tekankan oleh islam khususnya dalam pembinaan sebuah keluarga bahagia. Bagi memperolehi kasih sayang yang sebenar dalam kehidupan sebuah rumah tangga seseorang itu perlu menjalinkan hubungan yang harmoni di antara seluruh anggota keluarga dengan sentiasa kasih mengasihi, saling menghormati serta bantu membantu di antara satu sama lain. Semua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Terdapat beberapa faktor yang dapat menyuburkan kasih sayang untuk pembinaan sebuah keluarga bahagia. Antaranya ialah:


PERTAMA, FAKTOR KASIH SAYANG ANTARA SUAMI DAN ISTERI:
Sebuah keluarga yang bersifat mawaddah dan rahmah bermula daripada ikatan perkahwinan. Bagi melahirkan kasih sayang yang sebenar di antara suami dan isteri kedua-dua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggung jawab masing-masing. Isteri bertanggungjawab melayani dan mentaati suami manakala suami pula berperanan sebagai pelindung dan tempat bergantung isteri dan ahli keluarga. Islam juga menganjurkan para suami agar sentiasa bergaul dengan isteri secara maaruf ( baik).


Hakikat ini diperjelaskan lagi dgn sabda baginda baginda S.A.W yang berbunyi:


" خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَاَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِيْ "


Maksudnya : ”Sebaik-baik di kalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang paling baik pada isteriku..”


(Hadis Riwayat Al-Termizi)

KEDUA, KASIH SAYANG ANTARA ANAK-ANAK DAN IBU BAPA:
Sebagaimana ibu dan bapa memberikan kasih sayangnya kepada anak-anak, maka islam juga menganjurkan supaya anak-anak juga memberikan kasih sayang terhadap kedua ibu bapa mereka. Tegasnya anak-anak mestilah menyayangi dan mengasihi ibu bapa, mematuhi segala perintah dan nasihat keduanya, mengunakan kata-kata yang lemah lembut serta beradab, tidak menyinggung perasaan dan menyakitkan hati kedua ibubapa.


KETIGA, HUBUNGAN KEJIRANAN YANG BAIK:
Islam senantiasa menganjurkan supaya umatnya menjalin hubungan kasih sayang, silaturahim dan saling membantu antara satu sama lain. Kasih sayang itu bukan sekadar perlu dipupuk antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak serta anak dan ibu bapa saja, tetapi silaturahim terhadap saudara yang lain termasuk jiran tetangga juga sangat digalakkan oleh Islam karena hasil dari ikatan kemesraan itu akan melahirkan kekuatan ummah yang padu. Adalah wajar amalan hormat-menghormati dan tolak ansur di antara jiran tetangga di tingkatkan kerana ianya boleh melahirkan kehidupan yang harmonis dan sekaligus dapat membangunkan intitusi keluarga masing-masing.


Ini di jelaskan oleh Allah dalam surah An-nisa ayat ayat 36 Allah berfirman:


Maksudnya : ”Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlan kamu mempersekutukannya dengan suatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jauh dan rakan sejawat dan orang-orang musafir yang terlantar dan juga hamba sehaya yang kamu miliki sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”


Kesimpulannya, marilah sama-sama kita menyuburkan budaya kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, mudah-mudahan kita akan di rahmati Allah S.W.T.


1 comments:

Anonymous said...

saya suka apa yg tertulis di atas ni . dengan lagu latar yg merdu sesuai dgn kisah ini :)

Post a Comment

Followers