Allah s.w.t. telah mewajibkan solat fardhu lima kali sehari semalam. Allah sentiasa memberi peluang kepada manusia yang mengingati dan tidak melupai-Nya. Apabila kita ingat, bererti kita sentiasa dekat kepada Allah s.w.t. yang memberi jaminan bahawa kita berada dalam zon selamat dan mendapat rahmat daripada-Nya. Kekuatan solat ini akan menentukan kualiti keislaman dan prestasi kecintaan kita kepada Allah serta mengukur pematuhan kita kepada syariat Islam. Kelemahan kita dalam menjaga kualiti solat akan menjerumuskan diri sebagai manusia yang rugi.
Justeru, betapa besar pengaruh solat terhadap kualiti keislaman ini, oleh sebab itu solat boleh dikatakan sebagai penanda aras kekuatan agama, akhlak, kunci pintu syurga dan amal yang paling mulia. Mendirikan solat bermaksud mendirikan agama, dan terabainya solat bermaksud terabailah agama. Dengan demikian, kekuatan akar umbi kesungguhan melakukan solat bermula dari rumah. Umat Islam dan jemaah sekalian digalak memulakan amalan solat semasa berumur tujuh tahun. Apabila telah berumur sepuluh tahun, maka menjadi kewajipan ibu bapa atau penjaga menyuruhnya bersolat. Kalau ingkar mengerjakannya, maka diharuskan memukul sehingga perintah ini ditunaikan.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Thahaa ayat 132:
Yang bermaksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, nahkan Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.”
Demikianlah tingginya kewajipan seorang muslim terhadap ibadah solat. Solat adalah amanah Allah s.w.t.. Sekiranya kita memelihara solat, nescaya kita sentiasa dipelihara oleh Allah, manakala jika kita mengabaikannya, maka kita tergolong orang yang rugi. Persoalan besar timbul ialah, apakah rahsia di sebalik perintah solat yang begitu kuat ini?. Antara lain, faedahnya ialah untuk kepentingan dan menjamin keselamatan umat manusia itu sendiri.
Solat merupakan benteng diri daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Ini bermakna, muslim yang istiqamah solatnya akan menjadi insan berakhlak mulia, hidup dipenuhi amal soleh, bersifat amanah, berintegriti tinggi, dan berjiwa tawadhuk. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mengabaikan dan meringan-ringankan pelaksanaan solat ini akan lebih cenderung menjadi seorang yang rosak akhlak, bergelumang dengan maksiat, kejam, dan mengamalkan sifat keji sehingga mengancam kesejahteraan dirinya dan masyarakat.
Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
Yang maksudnya: “Sesiapa yang menjaga solat, nescaya solat itu menjadi cahaya, pembela, dan penyelamatnya di hari kiamat. Manakala mereka yang tidak menjaganya tidak akan mendapat cahaya, pembela, dan penyelamat. Bahkan mereka akan diletakkan bersama-sama dengan Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubay bin Khalaf.”
Berdasarkan hadith tadi, jelaslah orang yang meninggalkan solat disebabkan harta akan dihimpun bersama Qarun, jika disebabkan pangkat akan dihimpun bersama Fir’aun, jika disebabkan jawatan akan dihimpun bersama Haman, dan jika disebabkan dunia korporat pula akan dihimpun bersama Ubay bin Khalaf seorang yang cintakan harta dan lupa akhirat. Kesemua watak korup ini boleh menyumbang kepada gejala negatif seperti pecah amanah, salah guna kuasa, pelanggaran kepada perlembagaan dan undang-undang negara, penyalahgunaan dadah, pelacuran, perzinaan, pembuangan bayi, kejadian jenayah, dan perceraian yang semakin meningkat hari ini, disebabkan kegagalan segelintir umat Islam menghayati fungsi solat.
Selain itu, dosa besar bukan sahaja berzina, mencuri, minum arak, menderhakai ibu bapa, tetapi termasuk juga perbuatan mengabai atau meninggalkan solat yang amat dimurkai Allah s.w.t dan sangat dahsyat azabnya di dunia dan di akhirat kelak. Ini telah dijelaskan oleh Nabi s.a.w. dalam salah satu gambaran azab sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj di mana orang yang meninggalkan solat memukul kepalanya sehingga hancur berulang-ulang kali. Selain itu, Allah s.w.t. akan mencampakkan golongan ini ke dalam neraka Saqar.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Muddaththir ayat 43:
Maksudnya: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk orang yang mengerjakan solat.”
Sekiranya kita dimurkai oleh Allah s.w.t., siapakah lagi yang boleh kita harapkan untuk menyelamatkan kita di akhirat kelak?. Lupakah kita tentang ingatan Rasulullah s.a.w. supaya tidak mengabaikan solat di saat akhir hayat baginda?. Begitu juga kisah ambil berat Saidina ‘Umar bin al-Khattab tentang solat walaupun dalam keadaan tidak sihat akibat ditikam oleh Abu Lu’lu’ah al-Majusi, tetapi apabila mendengar seruan solat!solat!, beliau segera bangun mendirikannya.
Kesimpulannya, sesungguhnya solat merupakan ibadah yang paling penting dalam menentukan runtuh atau berdinya Islam. Sebagai saudara kepada anda saya menyeru kepada anda semua bersolatlah kerana dengan bersolat bukan sahaja dapat memenuhi hukum Islam yang ke dua tetapi ia juga sebagai tanggungjawab yang telah diberikan oleh Allah kepada kita hamba-Nya dan juga merupakan tiang bagi agama Islam.
0 comments:
Post a Comment