Tuesday, December 7, 2010

TAZKIRAH: KASIH DAN CINTA DALAM ISLAM


“Syair Arab menyebut, apabila seseorang yang
bercinta di tanya, “Apakah kau menyintai atau
sedang bercinta dengannya?”, maka
dijawabnya, “Oh, tidak…kawan sahaja atau apa
sahaja alasannya,” Ketahuilah dia seorang
pasangan KAZZAB (penipu)”

______________________________________

“…Rasa hormat adalah asas penting menjalin
hubungan cinta yang suci sesuai dengan aturan
Allah swt. Hormat kepada perintah Allah, ajaran
Rasul serta hormat ke atas hak dan maruah di
antara pasangan amat dititik beratkan ke arah
satu hubungan yang berkekalan.

Seorang lelaki yang jujur terhadap cinta dan kasih
sayang yang terjalin terhadap seorang wanita
tidak sewenang-wenangnya menyentuh tangan
wanita atau memegang erat tubuhnya. Wanita
bukannya objek yang boleh diperalatkan.

Jika ini terjadi, seorang wanita perlu berfikir,
apakah pasangan seperti ini mampu melindungi
dan menjaga maruahnya apabila berkahwin
nanti?

Jika hari ini haknya tergadai kerana seorang yang
dinamakan kekasih, apa kesudahan yang bakal
berlaku satu hari nanti?…”

______________________________________

Istilah cinta amat popular dan menjadi satu
ungkapan setia di bibir-bibir remaja yang
menganggapnya satu kalimah suci dan bererti.

Ada yang berbangga memiliki seorang kekasih
yang setia dan mula memasang angan-angan
untuk mendirikan rumah tangga bersama
pasangan pilihan.

Fanomena ini bermula dari bangku sekolah
lagi malah adakalanya membawa kepada
sesuatu di luar jangkauan

Cinta itu perlu
difahami. Semestinya seorang remaja
perlu memahami kehendak dan definisi yang
tepat.

Tanya pada diri, sama ada cinta hanya sekadar
mengikut nafsu serta rasa tertarik antara satu
sama lain cukup untuk menjelaskan maksudnya?

Di dalam artikel bertajuk Hakikat Percintaan
Dalam Islam, rasa hati yang dinamakan cinta
merupakan satu perasaan yang semulajadi di
alami oleh setiap insan baik muda mahupun tua.

Allah telah menganugerahkan manusia naluri
untuk meneruskan keturunan (salah satunya,
menyukai pasangan berlainan jantina) atau
dikenali dengan gharizah Al-Nau’.

Ini merupakan salah satu naluri manusia dari yang
tiga iaitu gharizah Al-baqa’ (naluri untuk
meneruskan kehidupan dan mempertahankan),
gharizah Al-Tadayyun (naluri untuk menyembah
dan beragama) dan gharizah Al-Nau’.

Jadi adanya perasaan itu sememangnya sudah
fitrah manusia dan perkara ini wajar dan tidak
haram disisi Islam.

Dalam keadaan ini, manusia perlu memahami
kedudukan cintanya dan ke mana hala tuju
seterusnya.

Malangnya remaja hilang punca dan meletakkan
satu kesimpulan yang mudah tentang hakikat
cinta.

Cinta perlu difahami sebagai satu rasa kasih
sayang yang penuh rasa hormat, tanggungjawab,
kesetiaan, komitmen, keikhlasan, bermaruah dan
ada matlamat.

Jika ciri-ciri ini tidak ada dalam apa yang
dikatakan sebagai cinta, maka hubungan
sedemikian sekadar satu permainan dan kepura-
puraan sahaja.

Konsep cinta dalam Islam meletakkan satu aturan
yang sistematik dan teratur tanpa mengabaikan
hubungan antara manusia dan Allah.

Atas dasar ini, Islam meletakkan cinta pada satu
kedudukan yang bermaruah dan bernilai baik bagi
pihak lelaki dan perempuan.

Ke mana hala tujunya destinasi cinta remaja?
Adakah setakat mengisi usia remaja dan
adakalanya putus di tengah jalan?

Mungkin destinasi cinta remaja yang diingini lebih
kepada konsep ala Barat yang disifatkan penuh
romantis dan indah.


Mulianya cinta berlandaskan Islam kerana cinta
yang dibina bermatlamat. Kerana ingin mendapat
kasih sayang tuhan, manusia sedia berkongsi
rasa cinta dan kasih sayang sesama insan.


Kerana inginkan kasih sayang tuhan jualah,
masing-masing ingin selamat-menyelamatkan
antara satu sama lain dari segi hubungan dan
kehidupan di dunia untuk mengejar sesuatu yang
abadi di akhirat.

Cinta yang dibina bukan cinta kosong tetapi cinta
yang punya pengertian yang luhur dan hanya
dapat dirasakan dengan jiwa yang bersih yang
sentiasa mencari tuhan.

(p/s:anda baca anda tentukan..renung2kn..)


Sunday, October 3, 2010

TAZKIRAH: SOLAT PENANDA ARAS KEKUATAN AKHLAK


Allah s.w.t. telah mewajibkan solat fardhu lima kali sehari semalam. Allah sentiasa memberi peluang kepada manusia yang mengingati dan tidak melupai-Nya. Apabila kita ingat, bererti kita sentiasa dekat kepada Allah s.w.t. yang memberi jaminan bahawa kita berada dalam zon selamat dan mendapat rahmat daripada-Nya. Kekuatan solat ini akan menentukan kualiti keislaman dan prestasi kecintaan kita kepada Allah serta mengukur pematuhan kita kepada syariat Islam. Kelemahan kita dalam menjaga kualiti solat akan menjerumuskan diri sebagai manusia yang rugi.


Justeru, betapa besar pengaruh solat terhadap kualiti keislaman ini, oleh sebab itu solat boleh dikatakan sebagai penanda aras kekuatan agama, akhlak, kunci pintu syurga dan amal yang paling mulia. Mendirikan solat bermaksud mendirikan agama, dan terabainya solat bermaksud terabailah agama. Dengan demikian, kekuatan akar umbi kesungguhan melakukan solat bermula dari rumah. Umat Islam dan jemaah sekalian digalak memulakan amalan solat semasa berumur tujuh tahun. Apabila telah berumur sepuluh tahun, maka menjadi kewajipan ibu bapa atau penjaga menyuruhnya bersolat. Kalau ingkar mengerjakannya, maka diharuskan memukul sehingga perintah ini ditunaikan.


Firman Allah s.w.t. dalam surah Thahaa ayat 132:


Yang bermaksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, nahkan Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.”


Demikianlah tingginya kewajipan seorang muslim terhadap ibadah solat. Solat adalah amanah Allah s.w.t.. Sekiranya kita memelihara solat, nescaya kita sentiasa dipelihara oleh Allah, manakala jika kita mengabaikannya, maka kita tergolong orang yang rugi. Persoalan besar timbul ialah, apakah rahsia di sebalik perintah solat yang begitu kuat ini?. Antara lain, faedahnya ialah untuk kepentingan dan menjamin keselamatan umat manusia itu sendiri.


Solat merupakan benteng diri daripada melakukan maksiat dan kemungkaran. Ini bermakna, muslim yang istiqamah solatnya akan menjadi insan berakhlak mulia, hidup dipenuhi amal soleh, bersifat amanah, berintegriti tinggi, dan berjiwa tawadhuk. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mengabaikan dan meringan-ringankan pelaksanaan solat ini akan lebih cenderung menjadi seorang yang rosak akhlak, bergelumang dengan maksiat, kejam, dan mengamalkan sifat keji sehingga mengancam kesejahteraan dirinya dan masyarakat.


Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:


Yang maksudnya: “Sesiapa yang menjaga solat, nescaya solat itu menjadi cahaya, pembela, dan penyelamatnya di hari kiamat. Manakala mereka yang tidak menjaganya tidak akan mendapat cahaya, pembela, dan penyelamat. Bahkan mereka akan diletakkan bersama-sama dengan Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubay bin Khalaf.”


Berdasarkan hadith tadi, jelaslah orang yang meninggalkan solat disebabkan harta akan dihimpun bersama Qarun, jika disebabkan pangkat akan dihimpun bersama Fir’aun, jika disebabkan jawatan akan dihimpun bersama Haman, dan jika disebabkan dunia korporat pula akan dihimpun bersama Ubay bin Khalaf seorang yang cintakan harta dan lupa akhirat. Kesemua watak korup ini boleh menyumbang kepada gejala negatif seperti pecah amanah, salah guna kuasa, pelanggaran kepada perlembagaan dan undang-undang negara, penyalahgunaan dadah, pelacuran, perzinaan, pembuangan bayi, kejadian jenayah, dan perceraian yang semakin meningkat hari ini, disebabkan kegagalan segelintir umat Islam menghayati fungsi solat.


Selain itu, dosa besar bukan sahaja berzina, mencuri, minum arak, menderhakai ibu bapa, tetapi termasuk juga perbuatan mengabai atau meninggalkan solat yang amat dimurkai Allah s.w.t dan sangat dahsyat azabnya di dunia dan di akhirat kelak. Ini telah dijelaskan oleh Nabi s.a.w. dalam salah satu gambaran azab sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj di mana orang yang meninggalkan solat memukul kepalanya sehingga hancur berulang-ulang kali. Selain itu, Allah s.w.t. akan mencampakkan golongan ini ke dalam neraka Saqar.


Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Muddaththir ayat 43:


Maksudnya: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk orang yang mengerjakan solat.”


Sekiranya kita dimurkai oleh Allah s.w.t., siapakah lagi yang boleh kita harapkan untuk menyelamatkan kita di akhirat kelak?. Lupakah kita tentang ingatan Rasulullah s.a.w. supaya tidak mengabaikan solat di saat akhir hayat baginda?. Begitu juga kisah ambil berat Saidina ‘Umar bin al-Khattab tentang solat walaupun dalam keadaan tidak sihat akibat ditikam oleh Abu Lu’lu’ah al-Majusi, tetapi apabila mendengar seruan solat!solat!, beliau segera bangun mendirikannya.


Kesimpulannya, sesungguhnya solat merupakan ibadah yang paling penting dalam menentukan runtuh atau berdinya Islam. Sebagai saudara kepada anda saya menyeru kepada anda semua bersolatlah kerana dengan bersolat bukan sahaja dapat memenuhi hukum Islam yang ke dua tetapi ia juga sebagai tanggungjawab yang telah diberikan oleh Allah kepada kita hamba-Nya dan juga merupakan tiang bagi agama Islam.

Wednesday, September 8, 2010

TAZKIRAH: AIDIL FITRI IBADAH DAN ADAT


Hari Raya Aidil Fitri akan menjelang kembali. Ia disambut berulang-ulang pada tiap-tiap tahun dan disyariatkan oleh Allah s.w.t. untuk Umat Islam merayakannya. Ianya disambut menandakan kesyukuran Umat Islam di atas kejayaan mereka melaksanakan fardu puasa sepanjang bulan Ramadan dan menandakan kemenangan mereka dalam perjuangan menahan hawa nafsu dari perkara-perkara yang ditegah di dalam bulan puasa.


Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, pertama kegembiraan ketika mereka berbuka dan kedua kegembiraan mereka ketika bertemu dengan Tuhannya yang Maha Pemurah.”


Umat Islam merayakan Hari Raya ini dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredai oleh Allah s.w.t. di antaranya sembahyang Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama mereka, bersedekah dan lain-lain lagi.


Kemuliaan Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya. Oleh kerana itu kita Umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan Malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban. Sehubungan dengan ini Allah berfirman di dalam Al Quran, ertinya: “Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid serta Taqdis kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.”


Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda “Barangsiapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang kafir yang ingkar pada hari kiamat.”


Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyarakkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah SWT hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadhan. Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.


Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud: “Barangsiapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir.”


Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Maksudnya :”Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.” dan daripada Anas r.a.:”Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.”


Walaubagaimanapun kekeliruan terhadap Aidil Fitri di kalangan umat Islam menyebabkan hari ibadah sudah bertukar menjadi tradisi, hampir menyamai tradisi kaum lain yang menyambut hari raya mereka yang merupakan pesta atau majlis hiburan.


Marilah kita hidupkan malam Aidil Fitri dengan ibadah bukan dengan gelaktawa dan hiburan. Bergembira di hari raya selalu disalah ertikan. Kita sepatutnya gembira dengan menunjukkan kesyukuran dan membesarkan Allah dengan takbir dan tahmid. Bukan dengan muzik dan bunyian mercun.


Bagi meyambut hari kebesaran ini, ramai yang bertakbir tetapi tidak ramai yang berusaha menghayati lafaz-lafaz dalam takbir dan tahmid itu walaupun diulang-ulang setiap kali tibanya hari raya. Penghayatan dan kemanisan lafaz-lafaz itu tidak dapat dirasai.



Maksud takbir :


"Allah maha besar. Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan yang menyekutukan Allah.


"Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa yang benar janji-Nya, yang memuliakan tentera-tenteraNya (tentera Muslimin) yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaan-Nya."


"Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar Allah Yang Maha Besar dan untuk Allah-lah segala puji-pujian."


Sunday, August 29, 2010

TAZKIRAH: KEUTAMAAN LAILATUL-QADAR


Umat Islam di seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun. Namun, pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul QadrMalam al-Qadr adalah malam yang paling utama sepanjang tahun, berdasarkan firman ALLAH Ta’ala, ertinya:


“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul-Qadr. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadr? Lailatul-Qadr lebih baik dari seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 1-3)


Maksudnya, beramal pada malam tersebut seperti solat, dzikir dan membaca al-Quran lebih utama dari amalan selama seribu bulan yang tidak mempunyai Lailatul-Qadr.
Sunnat Mengintai Lailatul-Qadr


Disunnatkan mencari lailatul-Qadr itu pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan. Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam amat giat mencari saat itu pada sepuluh hari yang terakhir.


Dari Aisyah radhiAllahu ‘anhu berkata: “Bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam apabila telah masuk sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan, diramaikannya waktu malam, dibangunkannya keluarganya dan diikat eratnya kain sarungnya.” (HR Bukhari & Muslim)


Di Malam Mana Berlakunya Lailatul-Qadr?


Ada beberapa pendapat dari para ulama dalam menentukan malam yang mulai ini.


Di antara mereka ada yang mengatakan bahawa ia adalah malam kedua puluh satu, ada pula yang mengatakan bahawa ia adalah malam kedua puluh tiga, ada yang berpendapat malam kedua puluh lima, dan ada yang berkata ia berlaku pada malam kedua puluh sembilan, serta ada yang mengatakan bahawa ia berpindah-pindah pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari yang terakhir.


Tetapi kebanyakan mereka berpendapat bahawa jatuhnya Lailatul-Qadr ialah pada malam kedua puluh tujuh.


Diriwayatkan oleh Ahmad dengan isnad yang sah dari Ibnu Umar radhiAllahu ‘anhu katanya telah bersabda Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam: “Barangsiapa mencarinya, hendaklah dicarinya pada malam kedua puluh tujuh!”


Namun, dinasihatkan kepada semua jangan hanya menumpukan kepada satu-satu malam sahaja beribadah. Hendaklah berterusan ibadah kepada ALLAH setiap hari, dan diberi penumpuan yang lebih kepada 10 hari terakhir Ramadhan.

Beribadah dan Berdoa Pada Lailatul-Qadr


Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang beribadah pada malam al-Qadr kerana iman dan mengharapkan keridhaan ALLAH, diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu.”


Diriwayatkan dari Aisyah radhiAllahu ‘anha oleh Ahmad, Ibnu Majah dan juga Turmudzi yang menyatakan sahnya, katanya: “Saya bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana pendapat anda seandainya saya tahu malamjatuhnya Lailatul-Qadr itu, apakah yang harus saya ucapkan ketika itu?” Maka ujar Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam: “Katakanlah:



“Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah daku ini.”


Tulisan di atas disalin dari kitab Feqh as-Sunnah susunan Sheikh Sayyid Sabiq dari bab puasa. Semoga kita semua dapat memanfaatkan perkongsian ini, insyaALLAH.


Mudah-mudahan kita semua memperolehi TAQWA, amin…


Friday, August 27, 2010

TAZKIRAH: DOA IBU MEMBAWA KE SYURGA


Islam menutut kita untuk berbuat baik kepada ibu bapa.Ia merupakan perintah Allah SWT yang wajib kita tunaikan. Sebagai seorang anak, kita diperintahkan agar sentiasa melakukan kebaikan terhadap mereka seperti bersikap lemah lembut, berbudi bahasa, tidak berlaku kasar dan selalu ingat dan menghargai jasa serta pengorbanan yang telah diberikan kepada kita selama ini. Mereka telah bersusah payah memelihara dan menjaga kita siang dan malam dengan mengorbankan waktu, tenaga, perasaan, wang ringgit dan sebagainya demi memberikan yang terbaik untuk kita. Atas dasar itulah maka Islam menetapkan bahawa tanggungjawab melakukan kebaikan kepada ibu bapa amat besar sehingga ia digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT.


Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 23:


Yang maksudnya: "Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uh" dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."


Selain itu, ajaran Islam juga menyuruh kita agar sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibu bapa kita. Dalam firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 14:


Yang maksudnya: "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)."


Sesungguhnya begitu besar sekali peranan dan pengorbanan kedua ibu bapa, lebih-lebih lagi buat si ibu sehingga Islam mengangkat darjat seorang ibu itu lebih dari seorang bapa. Berdasarkan Sabda Rasulullah SAW:


"عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ حَيْدَةَ الْقُشَيْرِىِّ قَالَ : قُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ ، مَنْ أَبَرَّ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أُمُّكَ . قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أَبَاكَ؟ ثُمَّ الأَقْرَبَ فَالأَقْرَبَ."


Maksudnya: "Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya aku bertanya Rasulullah SAW, siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?, Rasulullah SAW menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa?, Rasulullah menjawab : ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab: ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya".

(Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Maksud hadis tersebut, Baginda Rasulullah SAW telah menggariskan satu dasar bahawa Islam amat mengutamakan kepada si ibu sebagai insan yang layak menerima segala layanan yang terbaik dari setiap anak-anaknya ini kerana segala pergorbanan yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh kehamilan diikuti dengan proses melahirkan, kemudian memelihara untuk membesarkan kita adalah satu tempoh yang amat sukar. Namun begitu, ia berjaya diatasi dengan sebab rasa kasih sayang yang mendalam dalam diri si ibu berserta sokongan dari si bapa.


Memandangkan begitu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberi penghormatan yang begitu tinggi, ini tepat sekali dengan sabda Nabi Muhammad SAW:


"اَلْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ اْلأُمَّهَاتِ."


Maksudnya: "Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu-ibu."


Hal ini dapat dilihat dalam kisah Alqamah, di mana beliau begitu sukar untuk melafazkan kalimah syahadah di saat sakaratul maut kerana perasaan ibunya yang terguris di atas layanannya, walaupun Alqamah kuat beribadah tetapi beliau telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan ibunya, lalu ibunya merasa kecil hati dengan tindakannya, sehingga ibunya sukar untuk memaafkannya. Peristiwa ini perlu dijadikan iktibar oleh kita semua, semoga perkara yang dialami oleh Alqamah tidak terjadi kepada kita.


P/S: Berbuat baiklah dan rebutlah pelunag untuk berbakti kepada kedua ibu bapa sewaktu mereka masih ada. Sesungguhnya ganjaran Allah amat besar bagi mereka yang taat dan mengasihani ibu bapa mereka.


Friday, August 13, 2010

TAZKIRAH: REBUT RAHSIA RAMADHAN!!!



Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Yang mengatur segalanya dengan cantik sekali.


Ramadhan Kareem datang lagi. Tanda kasih dan kekuasaan Allah. Cuma jangan kita kaburkan tanda ini dengan keseronokkan kita mengunjungin bazar bazar Ramadhan yang berlambang.


Bukan ayam percik yang kita idam.


Bukan makanan itu dan bukan makanan ini.


Yang kita idamkan ialah peluang yang perlu di sambar ini. Allah mengharapkan bulan ini mampu menghasilkan keputusan yang baik bila keluar darinya yakni Takwa.


Kata seorang ustaz dalam ceramahnya, manusia tika ini banyak yang masuk ke dalam Ramadhan dalam keadaan jahil. Bagi kita Ramadhan cuma bulan puasa. Tapi kita sedikit lupa yang Ramadhan juga bulan Tarbiyah.


Kata Ibn Qaiyim, jahil itu merupakan racun yang membunuh. Dua ubatnya ialah Al Quran dan Sunnah.


Maka, Ramadhan ini perlu kita masuki dalam keadaan kita faham erti Ramadhan yang sebenar. Adab adab dalam Ramadhan, hukum puasa, Sunnah Rasulullah dalam bulan Ramadhan dan banyak lagi.


Mungkin agak lewat untuk satu pembacaan tapi sekurang kurangnya kita ada persediaan.


Jangan kita masuk dalam Ramadhan ini dalam keadaan betul betul kosong. Terlalu rugi jika itu yang berlaku.


Saturday, August 7, 2010

TAZKIRAH:KASIH SAYANG ASAS KEBAHAGIAAN INSTITUSI KELUARGA


Intitusi Keluarga merupakan asas pembinaan sesebuah masyarakat. Maju dan bahagiannya sesebuah masyarakat itu amat bergantung kepada Intitusi Keluarga yang berkualiti. Justeru itu syariat Islam menjadikan perkahwinan sebagai satu peraturan yang wajib di hayati, demi menjamin kerukunan hidup berumah tangga.


Islam adalah agama yang mementingkan hubungan kasih sayang. Kasih sayang adalah fitrah semula jadi yang Allah bekalkan di dalam naluri setiap insan. Kasih sayang tidak mengenal waktu, jarak, tempat kedudukan dan pangkat. Sebab itu, Allah S.W.T meletakkan syarat untuk memperolehi rahmatnya adalah dengan berkasih sayang antara sesama manusia. Ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang berbunyi:


Rasulullah SAW bersabda:


" مَنْ لاَ يَرْحَمِ النَّاسَ لاَ يَرْحَمْهُ اللهُ "


Maksudnya : ”Barang siapa tidak menyayangi manusia, Allah tidak akan menyayanginya.”
(H.R. Al-Termizi)


Hadis di atas menekankan kepada umat Islam agar hidup berkasih sayang dan sentiasa memelihara persaudaraan, dengan jaminan kurniaan rahmat oleh Allah s.w.t kepada mereka yang berakhlak penyayang.


Sifat kasih sayang amat penting dan begitu di tekankan oleh islam khususnya dalam pembinaan sebuah keluarga bahagia. Bagi memperolehi kasih sayang yang sebenar dalam kehidupan sebuah rumah tangga seseorang itu perlu menjalinkan hubungan yang harmoni di antara seluruh anggota keluarga dengan sentiasa kasih mengasihi, saling menghormati serta bantu membantu di antara satu sama lain. Semua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Terdapat beberapa faktor yang dapat menyuburkan kasih sayang untuk pembinaan sebuah keluarga bahagia. Antaranya ialah:


PERTAMA, FAKTOR KASIH SAYANG ANTARA SUAMI DAN ISTERI:
Sebuah keluarga yang bersifat mawaddah dan rahmah bermula daripada ikatan perkahwinan. Bagi melahirkan kasih sayang yang sebenar di antara suami dan isteri kedua-dua pihak perlu tahu akan peranan dan tanggung jawab masing-masing. Isteri bertanggungjawab melayani dan mentaati suami manakala suami pula berperanan sebagai pelindung dan tempat bergantung isteri dan ahli keluarga. Islam juga menganjurkan para suami agar sentiasa bergaul dengan isteri secara maaruf ( baik).


Hakikat ini diperjelaskan lagi dgn sabda baginda baginda S.A.W yang berbunyi:


" خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَاَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِيْ "


Maksudnya : ”Sebaik-baik di kalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah yang paling baik pada isteriku..”


(Hadis Riwayat Al-Termizi)

KEDUA, KASIH SAYANG ANTARA ANAK-ANAK DAN IBU BAPA:
Sebagaimana ibu dan bapa memberikan kasih sayangnya kepada anak-anak, maka islam juga menganjurkan supaya anak-anak juga memberikan kasih sayang terhadap kedua ibu bapa mereka. Tegasnya anak-anak mestilah menyayangi dan mengasihi ibu bapa, mematuhi segala perintah dan nasihat keduanya, mengunakan kata-kata yang lemah lembut serta beradab, tidak menyinggung perasaan dan menyakitkan hati kedua ibubapa.


KETIGA, HUBUNGAN KEJIRANAN YANG BAIK:
Islam senantiasa menganjurkan supaya umatnya menjalin hubungan kasih sayang, silaturahim dan saling membantu antara satu sama lain. Kasih sayang itu bukan sekadar perlu dipupuk antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak serta anak dan ibu bapa saja, tetapi silaturahim terhadap saudara yang lain termasuk jiran tetangga juga sangat digalakkan oleh Islam karena hasil dari ikatan kemesraan itu akan melahirkan kekuatan ummah yang padu. Adalah wajar amalan hormat-menghormati dan tolak ansur di antara jiran tetangga di tingkatkan kerana ianya boleh melahirkan kehidupan yang harmonis dan sekaligus dapat membangunkan intitusi keluarga masing-masing.


Ini di jelaskan oleh Allah dalam surah An-nisa ayat ayat 36 Allah berfirman:


Maksudnya : ”Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlan kamu mempersekutukannya dengan suatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa dan kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jauh dan rakan sejawat dan orang-orang musafir yang terlantar dan juga hamba sehaya yang kamu miliki sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”


Kesimpulannya, marilah sama-sama kita menyuburkan budaya kasih sayang dalam kehidupan berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, mudah-mudahan kita akan di rahmati Allah S.W.T.


Wednesday, August 4, 2010

TAZKIRAH: BAGAIMANA MENENANGKAN HATI DAN JIWA


Di dalam ajaran Islam semua masalah, ada jalan penyelesaiannya atau jalan keluar untuk mengatasi masalah, faham atau tidak sahaja atau mahu atau tidak kerana Islam itu agama keselamatan dunia akhirat, penyelesai semua masalah. Al Quran ada menyatakan:


FIRMAN ALLAH:


“Dan kami menurunkan daripada Al Quran itu barang yang iaitu menjadi ubat dan rahmat kepada orang mukmin dan tidak menambah akan orang yang zalim itu melainkan orang yang zalim itu melainkan rugi”.


Allah SWT mengatakan Al Quran atau Islam itu adalah ubat untuk penyakit lahir dan batin, fizikal dan rohani, dunia dan akhirat dan juga menjadi rahmat kepada seluruh dunia dan akhirat. Juga menjadi rahmat kepada seluruh dunia dan akhirat bagi orang mukmin. Allah SWT menyebut orang mukmin kerana orang mukmin sahaja yang mahu tunduk dan patuh kepada Al Quran atau ajaran Islam. Kalau orang kafir atau orang Islam sahaja, tidak akan mahu menerima atau payah mahu menerimanya. Allah SWT ada menyebut dalam Al Quran bahawa orang mukmin sahaja mudah diingatkan dan mudah menerima ajaran Islam atau ajaran Allah.


FIRMAN ALLAH:


“Tidak ada ucapan orang mukmin itu apabila di ajak kepada Allah dan Rasulnya agar menghukum dikalangan mereka itu melainkan mereka berkata-kata kami dengar dan kami patuh.”


Ertinya berkira dengan orang mukmin mudah, berkira dengan orang Islam lebih-lebih lagi yang bukan Islam sangat susah. Apatah lagi hendak diajak merujuk kepada Allah SWT dan Rasulnya, lebih liat lagi. Justeru itu bagi orang mukmin untuk menenangkan jiwanya Allah SWT memberitahu di dalam satu ayat berbunyi:


“Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang.”


Di sini tahulah kita ubat hati tidak tenang ialah banyak mengingati Allah SWT. Apabila banyak meningati Allah SWT, jika tidak tenang atau terasa kosong. Al Quran ada menyebut dalam sepotong ayat berbunyi;


“Barangsiapa yang berpaling daripada mengingati Aku maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.”


Maksudnya, orang menolak atau melupai Tuhan serta tidak faham apa yang Allah suruh dan larang serta tidak faham apa yang Allah lakukan pada dirinya maka jiwanya sentiasa sempit, tidak tenang, gelisah, resah, susah sekalipun ia kaya, berkuasa, ada nama, ada glamour.


Tuesday, June 1, 2010

TAZKIRAH: MALAS


MALAS adalah satu penyakit. Ia menimpa semua orang termasuk remaja. Malas ada bermacam ragam, ada malas belajar, malas kerja, malas bercakap, malas makan serta seribu satu macam jenis malas lagi. Malas ada risiko dan akibatnya, tetapi apa yang menakutkan adalah kalau malas beribadat. Akibat dan risiko malas yang lain boleh ditanggung, tetapi kalau malas berIBADAT tidak mampu ditanggung rasanya. Siapa yang sanggup menanggung azab sengsara dibakar api neraka.




Perhatian kita terhadap penyakit malas ibadat amat menurun dan corot terutama terhadap anak remaja kita. Lihat remaja kini tidak ke kelas tambahan atau tuisyen, bukan main marah ibu bapa memaki dan kadang-kadang memukul mereka. Tetapi jika remaja kita tidak menunaikan solat, puasa atau anak gadis tidak menutup aurat, tidak kita dengar suara menyuruh atau berleter ibu bapa mereka.


Kadang-kadang yang kita temui apabila emak atau ayah menyuruh pasti akan ada yang tolong bela.

“Kasihan budak tu...biarlah dia tidur, di asrama tak cukup tidur...,” bela emak pada anaknya yang balik bercuti.


Kita memberi perhatian kepada pelajaran yang akan memberi skor ‘A’ dalam peperiksaan, tetapi bagi pelajaran fardu ain, kita buat tidak endah saja.Sebenarnya ini penyuburan nilai tidak prihatin kita yang ditanamkan terhadap anak tanpa kita sedari. Kita lebih khuatir masa depan dunia anak kita daripada masa depan agama mereka.


Dunia memang penting. Islam tidak pernah menolak dunia yang sehingga al-Quran mewasiatkan dalam firman Allah yang bermaksud:

“Carilah apa yang dikurniakan Allah terhadap perkara akhiratmu dan janganlah kamu lupa urusan dunia kamu...”


Jangan lupa dunia antara mesejnya, tetapi jangan pula leka mencari dunia sehingga lupakan akhirat, kadang-kadang bukan saja lupa akhirat, malah Allah sebagai Tuhan yang disembah pun dilupakan juga.


Memang patut kita risau kalau remaja kita tidak berjaya di dunia, tetapi lebih patut lagi kita risau kalau anak remaja kita ke neraka gara-gara gagal beribadat ketika di dunia. Pesan dan motivasi anak remaja supaya bersungguh-sungguh belajar, tetapi jangan lupa hendak berpesan kepada mereka supaya tidak mengabaikan ibadat terutama solat sebagai tiang agama.


Nabi Yaakub berpesan kepada semua anaknya sebelum wafat:
“...apakah yang kamu sembah selepas kematianku...”


Bagi yang lalai dan terlalu leka dengan dunia mungkin pesanannya sebelum mati,
“...anak-anakku apa yang akan kamu makan selepas kematianku...”


Oleh itu, sama-samalah kita renungkan dan analisa diri kita. Sekiranya kita terlalu memdahkan ibadat untuk kepentingan di akhirat, apakah kita akan selamat semasa hari perhintungan kelak?? Wahai ibu bapa sekiranya kamu tidak mendidik dan mementing ilmu agama pada anakmu, siapakah nanti yang akan mendoakan kamu selepas kamu mati???
Anda baca anda tentukan...


Thursday, May 27, 2010

KISAH: ANTARA SABAR DAN MENGELUH


Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.
"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."


Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."


Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu?"


Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"


Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"


Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."


Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"


Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berzeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."


Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah.
Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:
" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."


Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,: " Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."


Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)


Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.


Wednesday, May 26, 2010

TAZKIRAH: MAKNA SABAR


Dari Suhaib RA, bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Sungguh menakjubkan bagi orang yang beriman, keranana segala urusannya adalah baik baginya. Dan hal yang demikian itu tidak akan terdapat kecuali hanya pada orang mu'min: Yaitu jika ia mendapatkan kebahagiaan, ia bersyukur, kerana (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan yang terbaik untuknya. Dan jika ia tertimpa musibah, ia bersabar, kerana (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan hal terbaik bagi dirinya." (HR. Muslim)


Kesabaran merupakan salah satu ciri pada orang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Bahkan sebagian ulama mengatakan bahawa kesabaran adalah separuh daripada keimanan. Sabar memiliki kaitan yang tidak mungkin dipisahkan dari keimanan: Kaitan antara sabar dengan iman, adalah seperti kepala dengan jasadnya. Tidak ada keimanan yang tidak disertai kesabaran, sebagaimana juga tidak ada jasad yang tidak memiliki kepala. Oleh kerana itulah Rasulullah SAW menggambarkan tentang ciri dan keutamaan orang yang beriman sebagaimana hadits di atas.


Kesabaran sesungguhnya memiliki dimensi yang lebih pada pengalahan terhadap hawa nafsu yang terdapat dalam jiwa insan. Dalam berjihad, sabar diaplikasikan dengan melawan hawa nafsu yang menginginkan agar dirinya duduk dengan santai dan tenang di rumah. Justru ketika ia berdiam diri itulah, sesungguhnya ia belum dapat bersabar melawan tantangan dan memenuhi panggilan Ilahi.


Sabar juga memiliki dimensi untuk mengubah sesuatu keadaan, baik yang bersifat pribadi mahupun sosial, menuju perubahan agar lebih baik dan baik lagi. Bahkan seseorang dikatakan dapat dikatakan tidak sabar, jika ia menerima sesuatu yang buruk, pasrah dan menyerah begitu saja. Sabar dalam ibadah diaplikasikan dalam bentuk melawan dan memaksa diri untuk bangun dari tempat tidur, kemudian berwudhu' lalu berjalan menuju masjid dan malaksanakan solat secara berjamaah. Oleh itu, sabar tidak boleh jika hanya dimaksudkann dengan satu sifat pasif, namun ia memiliki nilai keseimbangan antara sifat aktif dengan sifat pasif.


Wednesday, April 21, 2010

KISAH: SAIYIDINA ALI MENGHORMATI ORANG TUA NASRANI


Suatu hari Saiyidina Ali Karramallaha Wajhah tergesa-gesa untuk menunaikan solat subuh berjemaah bersama-sama Rasulullah. Di tengah perjalanan ke masjid, Saiyidina Ali bertemu dengan orang tua bertongkat sedang berjalan dengan sangat perlahan dan ditangannya memegang pelita untuk menerangai jalan yang gelap gelita.


Saiyidina Ali mengikuti sahaja langkah orang tua itu kerana beliau tidak sanggup memintas orang tua itu sebagai menghormatinya. Apabila tiba di masjid, Saiyidina Ali bergegas masuk ke masjid untuk menunaikan solat subuh berjemaah bersama Rasulullah. Ketika Saiyidina Ali memasuki masjid di dapati Rasulullah sedang rukuk. Rukuk Rasulullah pada kali itu sungguh lama, tidak seperti biasa, seolah-olah menanti Saiyidina Ali turut serta solat berjemaah.


Setelah selesai solat subuh Saiyidina Ali bertanya kepada Rasulullah " Ya Rasulullah, kenapakah engkau memanjangkan rukuk pada kali ini, belum pernah engkau lakukan sebelum ini". Jawab Rasulullah " Semasa aku sedang rukuk, dan ketika aku hendak iktidal, tiba-tiba datang Malaikat Jibril dan menekan belakangku. Setelah lama menekan barulah aku dapat iktidal".


Mendengar jawapan Rasulullah, Saidin Ali menceritakan apa yang berlaku semasa perjalananya ke masjid tadi. Rupa-rupanya Allah telah mengisyaratkan kepada Rasulullah supaya menanti Saiyidina Ali supaya dapat ikut serta solat subuh berjemaah. Ada juga diriwayatkan bahawa pada saat itu Allah telah memerintahkan Malaikat Mika'il supaya menahan kelajuan matahari agar Saiyidina Ali dapat solat subuh berjemaah bersama-sama Rasulullah kerana sikap Saiyidina Ali meredah diri dan menghormati orang tua Nasrani itu.


MORALNYA: hendaklah kita sentiasa menghormati orang yang lebih tua dari kita.


TAZKIRAH: ANAK ITU KUPU-KUPU SYURGA


Keistimewaan yang bakal diperoleh apabila anak-anak anda boleh digelar kanak-kanak atau kupu-kupu syurga. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.


Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak.


Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak.


Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya dengan amal soleh dan anaknya pula mengerjakan segala amal soleh itu maka dia turut memperoleh pahala dari amalan anaknya itu.


Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan. Aqrak berkata; "Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium." Sabda Nabi SAW; "Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi."


Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.


Seorang lelaki bertanya; "Ya Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti?"
Jawab baginda; "Berbaktilah kepada ibu bapamu."
Kata lelaki itu lagi; "Ibu bapaku sudah tiada lagi."
Sabda Nabi SAW; "Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu."


Tuesday, April 13, 2010

TAZKIRAH: CINTA SUCI YANG SEBENAR



Tidak dinamakan cinta suci jika nafsu menjadi sandaran utama. Bukan mahu membuang perasaan fitrah sebagai insani yang mahu mencintai dan dicintai, namun perlulah tahu dan sedar di manakah pengakhiran konsep cinta yang di bawa itu. Rumah tidak dibangunkan dalam masa sehari, cinta suci memerlukan perlakuan yang disaluti dengan kesabaran yang tinggi, di mana dilaksanakan sepanjang masa bersama keimanan yang kental dan utuh.


Dalam Islam, cinta dan keimanan adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Cinta yang berlandaskan Iman akan membawa seseorang kepada kemuliaan, sebaliknya cinta yang tidak berlandaskan Iman akan menjatuhkan seseorang ke jurang kehinaan. Cinta dan keimanan laksana kedua belah sayap burung. Imam Hassan Al Banna mengatakan bahawa: “Dengan dua sayap (Iman dan cinta) inilah Islam diterbangkan setinggi-tingginya ke langit kemuliaan”


Bagaimana tidak, jikalau Iman tanpa cinta akan pincang, dan cinta tanpa Iman akan jatuh ke jurang kehinaan dan berlakunya penzinaan. Iman tidak akan terasa lazat tanpa cinta dan sebaliknya cinta pun tidak lazat tanpa Iman. Kalau sudah tahu diri ini tidak terbaik di pandangan mata manusia, kenapa tidak berusaha menjadi sebaik mungkin dalam menambah fungsi diri mencapai kebaikan di sisi Dzat Allah Taala?


Kalau sudah tahu dan pasti diri tidak mampu memiliki pasangan soleh dan solehah, kenapa tidak mencari kurang soleh dan solehah, dan berusaha merubah menjadi soleh dan solehah? Berusahalah menjadi soleh dan solehah terlebih dahulu, pasti takdir ketentuan-Nya untuk anda dengan insan solehah dan soleh. Letakkanlah batasan antara cinta sesama manusi dengan cinta pada Ilahi. Lebihkanlah cita pada Ilahi dari cinta sesama manusia. Cinta sesama manusia hanya di dunia dan secara umumnya hanya sementara. Cinta Ilahi adalah kekal selamanya.


"DAN ITULAH CINTA SUCI YANG SEBENAR"


Saturday, March 27, 2010

KISAH: BESARNYA NIKMAT ALLAH TAPI KITA SERING DUSTKAN



Kisah mengenai Ibrahim Adham. Suatu hari,dia sedang berburu dan apabila dia penat dia duduk sambil memotong roti yang dibawanya.Tiba-tiba hinggap seekor burung sebesar buruk gagak di depannya mematuk potong roti dan membawa terbang.


Ibrahim berasa hairan dengan kejadian itu dan serta-merta mengikuti burung itu sehingga ke sebuah lereng gunung. Ibrahim melihat seorang lelaki dalam keadaan terikat kaki dan tangan. Setelah ikatan itu dilepaskan, dia menceritakan kejadian yang menimpanya.


''Saya adalah pedagang yang dirompak oleh sekumpulan penyamun dan diikat selama tujuh hari, maka burung itu datang kepada saya membawa roti setiap hari. Dengan demikian tahulah bahawa ALLAH s.w.t. tidak akan meninggalkan hambaNya kelaparan'', katanya.


Setelah kejadian itu, Ibrahim terus bertaubat dan menyerahkan segala hak miliknya ke jalan ALLAH s.w.t. dan menuju ke Makkah tanpa membawa bekal sedikit pun, tetapi dia tidak berasa lapar dalam perjalanan hingga masuk ke Kota Makkah dan bersyukur kepada ALLAH s.w.t.


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


“Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya”. -Riwayat Muslim.


"Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata".
(surah As-syura ayat 27)


Monday, March 15, 2010

TAZKIRAH: CITA -CITA DAN PERSEDIAAN



Bercita-cita tinggi suatu yang perlu ada didalam diri kita, tanpa cita-cita tiada kenyataan. Tetapi cita-cita sahaja tanpa kita menyediakan persedian-persedian untuk mendapatkan cita-cita tersebut suatu angan-angan yang tidak mungkin di gapai. Apakah masalah yang kita hadapai untuk mendapat cita-cita itu? Adakah halangannya begitu besar untuk kita, bolehkah kita menyenaraikan alasan-alasan atau sebab-sebab yang tidak memungkinkan kita mencapainya. Jika kita boleh menyenaraikannya sekarang mari kita lihat kenapa kita tidak mahu mengatasinya. Tiada carakah yang membolehkan kita menyelesaikannya? Jika ada maka lakukanlah sekarang.


Ramai orang cuba menangguhkan usaha-usaha dengan berharap apabila masa berlalu masalah tersebut akan selesai, ia mungkin suatu penyelesaian tetapi adakah dengan hanya berharap sahaja, bagi orang yang Berjaya mereka suka melakukan apa yang tidak digemari oleh orang-orang yang gagal, bagi orang yang gagal pula suka menangguhkan apa yang perlu mereka lakukan.


Kejayaan mestilah seiring dengan kesukaran, BUKAN SENANG NAK SENANG, KALAU TAKUT SUSAH MAKA SUSAH NAK SENANG. Maka mari kita analisa diri sendiri sejauh mana kita telah melalui kesukaran, sukar untuk membaca buku bagi menambah ilmu kerana kita selalu tertidur apabila mula nak membaca, sukar untuk melihat buku-buku anak kerana telah letih seharian bekerja di pejabat, sukar untuk membantu isteri kerana surak khabar belum sempat dibaca lagi hari ini, sukar untuk kemasjid kerana tak ramai orang yang dikenali di masjid, sukar untuk memberi nanti takut tak cukup belanja bulan ini, sukar untuk beriadah dan beribadah kerana terlalu letih bekerja hari ini.


Tetapi cuba tukarkan aku perlu membaca kerana dengan membaca aku akan memahami banyak perkara baru dan menjadikan aku lebih mengenal Allah swt, dengan lebih meluang waktu untuk melihat buku-buku anak saya akan mengetahui kelemahan anak dan ada peluang untuk membantu mereka, siapa lagi yang akan membantu jika tidak diriku yang memainkan peranan sebagai guru, dengan membantu isteri aku akan mendapat kasihnya, dengan pergi kemasjid aku akan mula menjalin persahabatan dan mendapat ilmu daripada kuliah yang diberikan disana, dengan memberi sedikit yang ada mungkin aku mendapat keberkatan diatas harta pemberian tuhan. Banyak lagi yang boleh difikirkan, apa yang perlu adalah berbaik sangka kepada Allah swt, tuhan yang maha berkuasa.


TAZKIRAH: SUAMI YANG PENGASIH


Setiap isteri atau wanita amat mendambakan seorang suami yang boleh menjadi pembantu dan juga penyenang hatinya, bukan hanya si isteri sahaja yang perlu menyenangkan dan juga menolong suaminya. Inilah rahsia kebahagiaan rumah tangga yang jika suami dan isteri sama-sama dapat memahami dan memenuhi keperluan dan kehendak pasangannya, rumah tangga yang sedia terbina akan terus terjalin bahagia dan dibarkahi.


Berikut adalah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan kepada suami mahupun bakal suami dalam meningkatkan pengetahuan tentang kehendak hati isteri dan sekaligus meningkatkan kepercayaan dan keyakinan si isteri terhadap suami dalam memimpin keluarga.


1. Imam Solat
Suami yang mampu menjadi imam dalam solat adalah amat jelas mampu memimpin rumah tangganya. Maka isteri akan hormat kerana suaminya mempunyai kredibiliti yang sememangnya menjadi tuntutan dalam berkeluarga. Mampu menjadi imam dalam solat adalah tanda bahawa suaminya mampu memimpinnya ke jalan yang lebih baik dalam agama.


2. Mengajarkan ilmu-ilmu agama
Ini adalah perkara mencabar untuk anda wahai bakal suami dan para suami kerana bukan untuk kita membimbing keluarga dengan ilmu-ilmu agama. Ramai di antara kita hari ini mampu menyediakan peralatan hiburan di rumah tetapi tidak dapat menyediakan peralatan untuk mengajarkan ilmu-ilmu agama. Sekiranya kita tidak mampu, carilah guru yang dapat membimbing kita dan keluarga kita.


3. Suami yang matang
Ramai suami nampak matang sebelum mendirikan rumah tangga, tetapi hakikatnya tidak setelah mereka berkeluarga. Suami perlu matang dalam memberikan keputusan kerana isteri tetap akan meminta pandangan suami walaupun dia mungkin dapat membuat keputusan terhadap sesuatu perkara.


4. Pandai Memasak
Suami adalah penjaga kepada isteri dan anak-anak. Jangan kita hanya menjadi suami yang hanya tahu memakan air tangan isteri, kerana sebenarnya isteri juga akan lebih menyayangi suami yang pandai memasak. Air tangan suami juga mampu mengeratkan hubungan antara suami isteri dan juga anak-anak.


5. Suami yang ‘independent’
Tahu menguruskan diri sendiri. Jangan hanya mengharapkan isteri untuk membasuh pakaian dan menggosok baju kerana ada waktunya mungkin isteri kita tidak dapat melakukan itu semua. Suami yang mampu melakukan kerja-kerja isteri mampu kelihatan comel dan romantik di mata si isteri. Cubalah, anda pasti akan nampak hasilnya nanti.


6. Mempunyai prinsip dan pendirian
Suami tidak boleh kelihatan lemah dengan hanya mendengar dan mengikut pandangan ahli keluarga sekiranya berlaku masalah keluarga.. Pendirian ini akan menunjukkan bahawa anda suami yang hebat di mata isteri. Pandangan ahli keluarga hanyalah pembimbing bukanlah keputusan kepada masalah anda.


7. Menjaga anak-anak bersama isteri
Banyak berlaku di kalangan kita, isteri ditatang bagai minyak yang penuh ketika sedang mengandung, tetapi setelah selamat bersalin suami hanya menyerahkan penjagaan anak kepada isteri sepenuhnya. Lebih-lebih lagi jika anak yang dilahirkan bukan anak sulong. Isteri mengalami kepenatan menguruskan rumah tangga 2 kali ganda selepas melahirkan anak. Tanggungjawab ini juga perlu dirasai oleh suami. Bersamalah bangun malam ketika anak menangis kelaparan. Pastinya isteri akan lebih menghargai kerjasama yang anda berikan.


8. Jadilah suami serba tahu
Suami yang serba boleh dengan erti kata mempunyai pengetahuan yang serba-serbi. Isteri amat rasa kagum apabila suaminya mempunyai pengetahuan dalam pelbagai bidang. Baik dari selok-belok rumah tangga, ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya. Suami yang sebegini bukan sekadar disayangi isteri bahkan juga disayangi mertua.


Tuesday, February 23, 2010

TAZKIRAH: PERANGI HAWA NAFSU



Setiap orang memilliki keinginan untuk membuat kejahatan atau lebih dikenali sebagai hawa nafsu. Ini merupakan musuh utama anak adam dari syaitan. Dengan ini kekuatan syaitan terletak pada hawa nafsu. Hawa nafsu selalu mengajak manusia kepada kemungkaran dan jika kita menuruti bisikannya, maka pasti akan binasa.


"Kemudian menggantilah selepas mereka pengganti-pengganti yang mensia-siakan solat, dan mengikuti hawa nafsu (syahwat); maka mereka akan menemui kesalahan," 19:59.


Sebagian orang bijak berkata, “Barang siapa menyirami anggota badannya dengan hawa nafsu, maka ia menanam pohon penyesalan dalam hatinya” [Imam Al-Ghazali, Mukâsyafah al-Qulûb, h. 17]


Terdapat tiga perkara yang menyelamatkan dan tiga perkara yang membinasakan. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tiga perkara yang menyelamatkan , iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.”


Hawa nafsu musuh utama manusia perlu dilawan tetapi melawannya bukan perkara yang mudah. Maka jihad melawan hawa nafsu lebih utama daripada jihad lain.


Dalam menghadapi pertarungan jiwa ini manusia terbahagi kepada tiga golongan: Golongan yang dapat ditewaskan oleh hawa nafsu mereka. Inilah golongan orang kafir dan orang yang menuruti cara mereka, iaitu orang yang melupakan Allah, lantas Allah melupakan mereka. Golongan yang berjihad melawan dirinya iaitu bertarung memerangi hawa nafsunya. Kadangkala mereka menang dan kadangkala mereka kalah. Apabila mereka tersalah mereka bertaubat dan apabila mereka melakukan dosa mereka menyesal dan memohon ampun daripada Allah. Golongan maksum (terpelihara dari dosa) iaitu para nabi dan rasul. Nabi dan rasul adalah mereka yang dikurniakan keistimewaan oleh Allah sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka sebagai penyampai risalah Allah kepada seluruh manusia.


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: ”Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya. ”


Para sahabat nabi ketika pulang dari berperang dengan orang-orang kafir sering berkata, "kami telah kembali dari jihad terkecil menuju ke jihad terbesar!".


Demikian ini disebabkan melawan hawa nafsu dan syaitan berlaku pada setiap masa, sementara berperang dengan orang kafir jarang sekali. Dengan demikian, upaya melawan hawa nafsu adalah sangat mulia bahkan melebihi jihad berperang. Beratnya melawan hawa nafsu itu sendiri diakui oleh para sahabat nabi.


Bahkan Nabi Sulaiman a.s. pun pernah bersabda : "Sungguh, upaya mengalahkan hawa nafsu lebih berat ketimbang menaklukkan sebuah kota!" [Al-Ghazali, Mukasyah al-Qulub, h.15]


Sunday, January 10, 2010

REDHA IBU BAPA DALAM MEMILIH JODOH

Kita sangat perlu kepada redha atau restu ibu bapa dalam semua perkara termasuk dalam membina rumah tangga. Redha ibu bapa amat penting kerana ia membekalkan kita keyakinan untuk melangkah ke alam perkahwinan. Dan untuk mendapat redha ibu bapa, kita perlu menjaga hati mereka. Bayangkan jika kita melangkah ke alam perkahwinan tanpa doa, restu atau redha ibu bapa, maka di hati kecil kita tidak akan ada keyakinan untuk menempuh alam yang baru itu.


Perkahwinan merupakan satu proses untuk menyempurnakan agama. Tetapi, adakah sempurna agama jika sesuatu perkahwinan itu tidak mendapat restu ibu bapa? Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta semata-mata umumnya tidak akan kekal lama. Jika berkahwin semata-mata kerana cinta, cinta boleh luntur. Kalau disebabkan dorongan seksual, ia juga boleh berkurang. Kalau berkahwin kerana duit, ini juga mungkin satu hari tidak stabil. Begitu juga kalau sebab kecantikan, kecantikan akan pudar akhirnya. Sebab itu Nabi s.a.w. menekankan bahawa perkahwinan itu adalah untuk menyempurnakan agama. Tanda kita betul-betul beragama, kita berkahwin mengikut sunnah Nabi.


Dalam soal ini, ibu bapa umumnya lebih tahu menilai kesesuaian calon menantu kerana mereka melihat dari banyak aspek. Kesan yang jelas bagi perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa adalah gagal mendapat keberkatan. Hilangnya keberkatan menyebabkan timbul masalah silih berganti dan timbul rasa tidak yakin dalam menghadapi masalah akibat tidak mendapat doa dan redha ibu bapa tadi. Jika ada restu ibu bapa, apabila menghadapi sesuatu masalah, kita rasa yakin boleh menyelesaikannya walaupun masalah itu nampak berat. Perkahwinan itu sesuatu yang membahagiakan tetapi tanpa redha ibu bapa maka lebih mudah berlaku huru-hara. Sebaliknya dengan keredhaan ibu bapa, perkahwinan terasa lebih menyeronokkan.


Kita sering membaca kisah rumah tangga yang porak-peranda dan berlaku cerai-berai. Kalau dikaji, di hujungnya kita akan dapati perkahwinan itu dulunya tidak mendapat keredhaan ibu bapa. Ada yang disebabkan telah berlaku perkara tidak elok sebelum kahwin maka ibu bapa terpaksa setuju mereka berkahwin walaupun hati kecil mereka tidak meredhainya.


Diam ibu bapa dengan pilihan jodoh anaknya mungkin menandakan mereka tidak bersetuju, cuma mereka tidak menyuarakannya secara terus-terang. Diamnya itu mungkin tanda tidak setuju dengan pilihan anak tetapi dia tidak kata tidak setuju sebab tidak mahu melukakan hati anak. Dalam hal ini, si anak hendaklah cuba memahami isi hati ibu bapa dan menjaga hati mereka. Walaupun diam ibu bapa mungkin juga menandakan mereka berfikir dan bersetuju tetapi si anak perlu bertanya secara berhemah untuk memastikan ibu bapa betul-betul merestui pilihannya. Lazimnya jika ibu bapa redha dengan pilihan anaknya, mereka akan iringi dengan nasihat dan kata-kata semangat.


Tetapi jika tiada respons atau hambar saja, anak kena pastikan betul-betul untuk menjaga hati mereka. Ada ibu bapa yang menuruti pilihan calon pasangan anaknya setelah didesak atau dipujuk walaupun hati kecil mereka tidak benar-benar meredhainya.Itu perlunya syura atau perbincangan. Tetapi apa yang berlaku hari ini adalah pertengkaran, bukan perbincangan. Pertengkaran tidak mendatangkan natijah yang baik. Banyak masalah yang nampaknya berat dan tidak boleh diselesaikan tetapi apabila dibawa berbincang, ia selesai akhirnya. Begitu juga dengan masalah pilihan calon pasangan.


Syura yang diadakan dalam keadaan hati bersih dan baik, insyaAllah natijahnya baik. Bukan ibu bapa saja perlu mendengar pandangan anak tapi anak juga perlu bersikap terbuka dalam mendengar pandangan ibu bapa. Sikap berterus-terang perlu ada dalam berbincang dan kalau perlu, si anak boleh meluahkan perasaannya. Hati ibu bapa tetap perlu dijaga sampai bila-bila walaupun seseorang itu sudah ada tanggungjawab lain dalam rumah tangga yang dibina. Bagi seorang wanita yang sudah berkahwin misalnya, tanggungjawab untuk mentaati suami tidak mengurangkan hak ibu bapanya untuk ditaati dan dijaga hati mereka.


Followers